Home Nasional 9 bot nelayan Indonesia ceroboh perairan negara diusir keluar

9 bot nelayan Indonesia ceroboh perairan negara diusir keluar

Antara bot nelayan Indonesia yang diusir keluar oleh APMM Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang mengusir sembilan buah bot nelayan asing dari Indonesia yang menceroboh perairan negara pada 12 hingga 14 Ogos lalu.

Kesemua bot tersebut dikesan ketika APMM sedang melaksanakan rondaan Ops Benteng/ Ops Tanjung di perairan Pulau Pinang.

Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, bot pertama bersama empat kru warga Indonesia termasuk tekong diusir sekitar 28 batu nautika barat daya Pulau Pulau Kendi pada jam 2.30 petang, Khamis lalu.

Antara bot nelayan Indonesia yang ceroboh perairan negara yang diusir keluar.

“Keesokan hari (Jumaat) pula, lima buah bot nelayan Indonesia bersama 15 kru dikesan dan diusir keluar di kedudukan di antara 55 ke 59 batu nautika barat daya Pulau Kendi pada jam 12.30 tengah hari.

“Diikuti hari terakhir iaitu Sabtu di mana tiga lagi buah bot nelayan Indonesia dikesan dan diusir keluar di kedudukan 43 batu nautika barat daya Pulau Kendi sekitar jam 4.20 petang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, kesemua bot nelayan Indonesia itu diusir secara membayangi sehingga ke sempadan perairan Malaysia-Indonesia.

“Pengusiran terhadap nelayan asing ini merupakan tindakan semasa dalam mencegah dan mengekang penularan Covid-19 khususnya melalui kes import yang dibawa oleh warga asing.

Sebanyak 9 bot nelayan Indonesia diusir keluar dalam tempoh tiga hari.

“Kita akan terus meningkatkan pemantauan dan memperkukuh sempadan perairan negara khususnya melalui Op Benteng  dalam mengekang kemasukan PATI dan jenayah rentas sempadan termasuk lain-lain aktiviti tidak sah.

“Orang awam dan komuniti maritim diminta bekerjasama membanteras aktiviti jenayah, kemasukan PATI dengan menyalurkan maklumat ke talian 011 6251 1123 atau talian Pusat Operasi Maritim Pulau Pinang 04 262 6146,” ujar Abd Razak. – MalaysiaGazette