YOGYAKARTA – Gunung berapi paling aktif di Indonesia meletus pada hari ini dengan aliran lava terbesar sejak beberapa bulan, mewujudkan sungai lava dan awan gas yang menyala mengalir sejauh 3.5 kilometer menuruni lerengnya di Pulau Jawa yang padat penduduk.
Bunyi kuat kedengaran beberapa kilometer ketika Gunung Merapi meletus menyebabkan abu panas setinggai 600 meter memenuhi ruang langit.
Abu itu turut menyelimuti bandar-bandar berdekatan.
Tiada korban jiwa dilaporkan kerana arahan berpindah kepada penduduk sekitar telah dilakukan sebelum ini.
Letusan hari ini adalah aliran lava terbesar Guning Merapi sejak pihak berkuasa meningkatkan tahap bahaya pada bulan November lalu, kata Hanik Humaida, Ketua Pusat Mitigasi Vulkanologi dan Geologi Yogyakarta.
Hanik berkata, kubah lava tepat di bawah tepi barat daya Gunung Merapi dan kubah lava di kawah keduanya telah aktif sejak akhir bulan Julai.
Isipadu kubah di barat daya dianggarkan 1.8 juta meter padu dan tingginya kira-kira 3 meter sebelum sebahagiannya meletus pagi ini menyebabkan aliran piroklastik bergerak pantas ke arah barat daya, sekurang-kurangnya dua kali.
Orang ramai dinasihatkan untuk berada 5 kilometer dari mulut kawah dan berhati-hati terhadap bahaya lava, kata agensi itu.
Abu dari letusan menyelimuti beberapa kampung dan bandar berdekatan, kata Humaida.
Cuaca mendung mengaburkan pemandangan puncak pada pagi ini.
Gunung Merapi adalah yang paling aktif daripada lebih dari 120 gunung berapi aktif di Indonesia dan berulang kali meletus. – AP