Home Dunia Covid-19: Jepun tambah wilayah darurat

Covid-19: Jepun tambah wilayah darurat

Seorang lelaki memakai pelitup muka ketika melalui kawasan beli-belah di Tokyo. foto Reuters

TOKYO – Kerajaan Jepun akan meluaskan perintah darurat koronavirus kepada tujuh wilayah dalam usaha menangani pandemik Covid-19 sebelum menjelangnya Sukan Paralimpik.

Di bawah perintah itu, semua restoran dan bar di Tokyo dan lima wilayah lain telah diarah tutup pada jam 8 malam sehingga 31 Ogos ini.

Tetapi kerajaan akan meluaskan pendekatan itu ke kawasan-kawasan tambahan sehingga 12 September ini.

“Jangkitan menular di serata Jepun dalam skala yang belum pernah dialami sebelum ini,” kata Yasutoshi Nishimura, menteri yang menjadi jurucakap mengenai koronavirus.

Menurutnya, jumlah pesakit dalam keadaan serius meningkat setiap hari.

Selain penguatkuasaan terhadap restoran dan bar, kerajaan juga akan meminta pusat dan gedung beli-belah untuk mengehadkan jumlah pelanggan dalam satu-satu masa.

Jepun telah menyaksikan kes jangkitan yang sedikit berbanding negara-negara lain dengan 15,400 kes kematian walapun tidak melaksanakan sekatan pergerakan.

Namun program vaksinasi bermula lewat dan perlahan berbanding negara-negara maju lain.

Setakat ini hanya 37% populasinya telah menerima vaksin lengkap.

Sejak kebelakangan ini, Jepun merekodkan lebih daripada 20,000 kes harian. – CNA