Home Sukan Jorge Pereyra Diaz sertai Liga Super India

Jorge Pereyra Diaz sertai Liga Super India

Jorge Pereyra Diaz.

KUALA LUMPUR – Bekas penyerang Johor Darul Ta’zim, Jorge Pereyra Diaz sah akan kembali dalam saingan bola sepak Asia apabila bersetuju untuk menyertai kelab dalam saingan India Super League (ISL), Kerala Blasters.

Menurut laporan sebuah portal Khel Now, Kerala Blasters sudah pun melengkapkan perpindahan masuk Jorge Pereyra Diaz sebagai pemain import ketiga mereka musim ini selepas membawa masuk Andrian Luna (Uruguay) dan Enes Sipovic (Bosnia Hezergovina).

Laporan itu juga ada menyebut Diaz berjaya mendapatkan pelepasan dari kelabnya sebelum ini untuk membolehkannya menyertai Kerala Blasters sebelum sepak mula musim 2021/2022 yang akan bermula pada 9 November ini.

Pemain berusia 31 tahun itu asalnya memiliki kontrak sehingga Disember ini bersama Atletico Platense di Liga Primera Division tetapi kelab bersetuju melepaskannya untuk menandatangani kontrak satu musim bersama Kerala Blasters.

Sebagai rekod, musim 2020/2021, Kerala Blasters menamatkan saingan India Super League dikedudukan kedua tercorot di mana mereka hanya mampu mencatatkan tiga kemenangan dari 20 perlawanan.

Diaz merupakan salah satu pemain import terbaik yang pernah mewarnai kancah Liga Malaysia apabila dia pernah membantu JDT memenangi Liga Super sebanyak dua kali pada musim 2014 dan 2015 serta Piala FA pada musim 2016.

Sepanjang bersama Bolivar, Diaz hanya menjaringkan dua gol dalam sembilan perlawanan sebelum ditangguhkan kerana wabak pandemik Covid-19. – MalaysiaGazette