Home Utama Mukhriz, Zahid, Anwar mengadap Agong

Mukhriz, Zahid, Anwar mengadap Agong

Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu melambai tangan kearah media semasa masuk ke pintu 2 Istana Negara bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 17 OGOS OGOS 2021.

KUALA LUMPUR – Sidang menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dijangka bermula jam 2 petang tadi.

Presiden Pejuang Tanahair (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir adalah individu pertama yang tiba di perkarangan pintu 2, Istana Negara.

Kenderaan pelbagai guna (MPV) Vellfire warna hitam yang membawa Ahli Parlimen Jerlun itu memasuki perkarangan Istana Negara jam 1.52 petang.

Selang dua minit, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memasuki perkarangan Istana Negara.

Ahmad Zahid Hamidi melambai tangan kearah media semasa masuk ke pintu 2 Istana Negara bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 17 OGOS OGOS 2021.

Ahmad Zahid sempat menurunkan tingkap Toyota Landcruiser sambil melambai kepada pengamal media.

Tepat jam 2 petang, beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH) turut hadir antaranya Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu.

Mohamad Sabu dilihat tersenyum dan sempat melambai ke arah media.

Turut memasuki Istana Negara adalah Presiden PKR yang juga Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Lim Guan Eng hadir bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billal Shah mengenai soal pelantikan Perdana Menteri di Istana Negara, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 17 OGOS 2021.

Anwar yang terakhir memasuki Istana Negara dengan menaiki kereta Lexus hitam.

Petugas media mula berkumpul di hadapan Pintu 2 Istana Negara seawal jam 11 pagi tadi bagi membuat liputan ketua-ketua parti menghadap Agong.

Sesi menghadap Agong oleh ketua-ketua parti bermula hari ini susulan Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri selepas menerajui Perikatan Nasional (PN) selama hanya 17 bulan. – MalaysiaGazette