KUALA LUMPUR – Proses pemilihan perdana menteri kesembilan bermula hari ini apabila Yang di-Pertuan Agong mula memanggil ketua-ketua parti politik menghadap baginda di Istana Negara.
Ia berikutan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri selepas tidak lagi memperoleh sokongan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat.
Ketua parti-parti politik dijangka menghadap Seri Paduka Baginda petang Selasa dengan UMNO, Pakatan Harapan, Pejuang, Pas telah mengesahkan dipanggil menghadap.
Difahamkan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun dan Speaker Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim juga dipanggil mengadap hari ini.
Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dijangka meminta pandangan ketua-ketua parti politik tentang calon perdana menteri seperti mana proses ketika Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan sehingga kerajaan Pakatan Harapan runtuh pada Februari tahun lepas.
Selepas sesi menghadap itu, ketua-ketua parti akan mempersembahkan nama calon perdana menteri masing-masing berserta dengan sokongan majoriti yang diperoleh.
Proses dijangka mengambil masa beberapa hari sebelum nama perdana menteri baharu dimuktamadkan sebagai pengganti Muhyiddin yang meneraju kerajaan Perikatan Nasional selama 18 bulan 14 hari.
Dalam keadaan negara berhadapan pandemik Covid-19 pelantikan perdana menteri baharu tidak boleh dilengahkan untuk memastikan segala dasar untuk membendung wabak tersebut dan proses vaksinasi penduduk dapat terus dilaksanakan.
Muhyiddin kini diberi tanggungjawab sebagai perdana menteri caretaker bagi memastikan urusan pentdbiran kerajaan tidak terganggu berikutan keputusan yang dibuat semalam. – MalaysiaGazette