Home Politik Saya kekal sokong Anwar sebagai PM – Kian Ming

Saya kekal sokong Anwar sebagai PM – Kian Ming

Ong Kian Ming

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming kekal menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri (PM) yang baharu.

Pemimpin DAP itu berkata, pendirian dirinya dan parti itu telah jelas selama ini untuk memilih Anwar sebagai calon PM ke sembilan.

“Tiada isu. Pendirian saya dan pendirian parti saya telah jelas. Saya akan menyokong
@anwaribrahim sebagai calon PM saya. Melainkan jika diperintahkan oleh parti, ini akan menjadi pilihan saya menerusi undian,” tulis di laman Twitter miliknya di sini.

Kiang Min menjawab pertanyaan seorang pengikut di media sosial itu yang meminta beliau secara terbuka menyatakan Surat akuan bersumpah (SD)  untuk menyokong Ahli Parlimen mana yang menjadi calon Perdana Menteri kepada masyarakat sebagai tanggungjawab kepada pengundinya.

Sebelum ini, Kian Ming mahu pembangkang duduk semeja berbincang mengenai tawaran bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jumaat lalu.

Kian Ming melalui ciapan di Twitternya berkata, cadangan yang dikemukakan itu memberikan impak besar terhadap masa depan politik negara.

“PM @MuhyiddinYassin telah mencadangkan cara untuk bergerak kehadapan dengan beberapa reformasi institusi yang akan memberikan impak terhadap politik Malaysia jika ia diluluskan (di Parlimen).

“Saya berfikir semua parti politik perlu duduk dan berbincang jika sama ada cadangan yang diberikan boleh diterima atau tidak,” katanya.

Pada Jumaat, Muhyiddin menawarkan kerjasama rentas parti antara Kerajaan Perikatan Nasional dengan parti di luar kerajaan sekiranya usul undi percaya terhadapnya diluluskan di Dewan Rakyat pada 7 September depan.

Menurutnya, cadangan itu dibuat bagi membolehkan kerajaan terus berfungsi ketika pandemik Covid-19 dengan sokongan bi-partisan di Parlimen.

Pada masa yang sama, ia bagi mengelakkan kumpulan kleptokrat memerintah jika kemelut politik berterusan dan tidak diselesaikan segera. – MalaysiaGazette