Home Nasional Saya telah lakukan terbaik dalam menggalas tanggungjawab yang diamanahkan – Tengku Zafrul

Saya telah lakukan terbaik dalam menggalas tanggungjawab yang diamanahkan – Tengku Zafrul

Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menyifatkan tempoh selama hampir 18 bulan menggalas tanggungjawab sebagai Menteri Kewangan merupakan satu penghormatan dan keistimewaan terbesar buatnya untuk berkhidmat kepada negara.

“Saya telah melakukan terbaik dalam menggalas tanggungjawab yang diamanahkan sepanjang tempoh berkhidmat dan biarlah sejarah menjadi landasan paling wajar untuk menilainya. Ia merupakan satu penghormatan dan keistimewaan terbesar untuk berkhidmat kepada negara,” katanya.

Beliau mengakui tempoh hampir 18 bulan adalah tempoh yang amat mencabar bagi #TeamMOF untuk mengimbangi antara nyawa dan kehidupan di samping memastikan kelangsungan perniagaan dan ketahanan ekonomi semasa pandemik COVID-19.

“Sebagai seorang yang datang dari latar belakang korporat, saya benar-benar kagum dengan melihat kesungguhan para penjawat awam dalam melaksanakan amanah negara yang bertugas tidak mengira hari dan waktu.

“Malah, ramai yang sering terpaksa bermalam di pejabat melaksanakan segala urusan mentadbir urusan kewangan negara lebih-lebih lagi dalam masa yang amat mencabar ini,” katanya dalam catatan di laman Facebook beliau malam tadi.

Tengku Zafrul berkata dengan semangat kerjasama inilah pelbagai pakej rangsangan ekonomi, langkah dan dasar telah dapat dilaksanakan.

“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua warga Kementerian Kewangan dan agensi-agensi berkaitan yang telah banyak membantu saya mengemudi kementerian dalam usaha kita menentang COVID-19,” katanya.

Tengku Zafrul telah dilantik sebagai Menteri Kewangan pada 9 Mac, selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Ke-8 negara. Tengku Zafrul bersama anggota Kabinet yang lain telah meletak jawatan hari ini.

“Saya juga ingin berterima kasih kepada rakyat yang telah menyokong usaha Kementerian Kewangan sepanjang saya menggalas tugas sebagai Menteri Kewangan,” katanya.

Bekas Menteri Kewangan itu berharap episod ini akan membuka lembaran baharu ke arah pentadbiran Malaysia yang lebih stabil agar fokus dapat diberikan 100 peratus kepada usaha untuk menangani cabaran COVID-19.

Dalam tempoh beliau sebagai Menteri Kewangan, beliau turut dilantik sebagai Menteri Penyelaras Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang bertanggungjawab untuk memantau pelaksanaan strategi dan bantuan serta mengambil langkah intervensi yang proaktif dan bersesuaian dengan situasi pandemik COVID-19 yang sangat dinamik.

Di bawah Kementerian Kewangan (MoF), Tengku Zafrul turut bertanggungjawab untuk pelan pemulihan serta Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA).

Sepanjang tempohnya di kementerian, kerajaan telah melaksanakan lapan pakej bantuan dan rangsangan ekonomi bernilai RM530 bilion untuk menangani krisis kesihatan sejak pandemik COVID-19 diumumkan tahun lepas.

Pakej rangsangan ekonomi itu ialah Pakej Rangsangan Ekonomi 2020, Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), Pakej Rangsangan Ekonomi PRIHATIN PKS (Tambahan), pakej Kerangka Inisiatif Tambahan PRIHATIN (KITA PRIHATIN), Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI), Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA), PEMERKASA Tambahan serta Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH).

Tengku Zafrul yang juga adalah Senator, sebelum ini merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Eksekutif CIMB Group Holdings Bhd.

Beliau juga merupakan penasihat kepada Presiden Tenaga Nasional Bhd sebelum menyertai CIMB Investment Bank Bhd.

Tengku Zafrul yang berusia 48 tahun dilahirkan di Kuala Lumpur pada 25 Jun, 1973 –  menerima pendidikan awal di Kolej Melayu Kuala Kangsar, sebelum melanjutkan pelajaran di University of Bristol, United Kingdom dan memiliki Ijazah Sains (Kepujian) Ekonomi dan Perakaunan.

Beliau kemudian memperoleh Ijazah Sarjana Sastera (MA) dalam bidang Kewangan dan Pengurusan daripada University of Exeter serta Fellow Chartered Banker dengan Asian Institute of Chartered Bankers.

— BERNAMA