Home Pendapat Dua perkara perlu perhatian perdana menteri baharu

Dua perkara perlu perhatian perdana menteri baharu

Anggota tentera membuat persiapan di kawasan yang akan ditamatkan PKPD di Sabah.- Gambar hiasan.

TEMPOH memerintah kerajaan Perikatan Nasional akhirnya menemui titik noktah pada 16 Ogos 2021 apabila Tan Sri Mahiaddin Md Yassin (TSMY) telah meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-8 susulan kehilangan majoriti ahli Parlimen.

Kini, TSMY telah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong sebagai Perdana Menteri sementara (caretaker) sehingga Perdana Menteri baharu dilantik selaras dengan peruntukan Perkara 39 yang dibaca bersama prerogatif yang terpelihara menurut Perkara 181 Perlembagaan Persekutuan.

Hal ini juga dimanifestasikan melalui Warta Kerajaan Persekutuan P.U (A) 337 iaitu Perintah Menteri-Menteri Kerajaan Persekutuan 2021 yang dibuat menurut Akta Fungsi-Fungsi Menteri 1969.

Seperti juga konsep demokrasi, istilah perdana menteri dan kerajaan “caretaker” tidak pernah disebut dalam Perlembagaan Persekutuan. Tetapi, ini tidak bermakna ia tidak boleh digunakan kerana ia adalah selaras dengan sistem demokrasi berparlimen yang negara ini amalkan.

Kerajaan “Caretaker”

Ramai yang tertanya-tanya tentang apakah yang dikatakan sebagai Perdana Menteri dan kerajaan “caretaker”. Saya percaya bahawa banyak pendapat yang telah dikemukakan oleh peguam, pakar perlembagaan, akademi dan penganalisis politik yang boleh ditelaah.

Sehubungan dengan itu, saya tidak berniat untuk mengulas lanjut secara panjang lebar berkenaan dengan perkara ini.

Ringkasnya, menurut konvensyen sistem demokrasi berparlimen, kerajaan “caretaker” ini hanya menjalankan fungsi administrative atau mentadbir negara sehingga satu kerajaan baharu dibentuk kelak.

Pada ketika ini, kerajaan “caretaker” adalah tidak boleh untuk membuat apa-apa keputusan dan dasar yang boleh mengikat dan boleh memberi implikasi kepada kerajaan baharu nanti. Selanjutnya, kerajaan “caretaker” juga tidak akan membuat lantikan utama kerajaan atau memasuki sebarang perjanjian yang besar dan boleh menggugat status quo kerajaan.

Dalam erti kata lain, kuasa kerajaan “caretaker” ada terhad untuk memastikan kelicinan pentadbiran kerajaan sahaja.

Dua perkara mustahak

Pada ketika ini, rakyat menharapkan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong sebagai payung negara untuk melantik individu yang pada hemat baginda mendapat majoriti untuk menjadi seorang Perdana Menteri selaras dengan Perkara 43(2) (a) Perlembagaan Persekutuan.

Tambahan pula, keadaan politik yang tidak stabil buat beberapa waktu ini telah menimbulkan suatu kebimbangkan kepada rakyat tentang soal masa depan negara yang kini masih lagi berdepan dengan pandemik Covid-19.

Oleh itu, pada pendapat saya terdapat dua perkara yang harus disegerakan apabila Perdana Menteri baharu dilantik kelak.

Pertama sekali, Perdana Menteri baharu dan kerajaan memerintah perlu melaksanakan sekatan pergerakan penuh (“total lockdown”) yang sebenar.

Antara kemelut dan isu yang menghantui negara sebelum ini adalah peningkatan kes Covid-19 yang sangat mendadak.

Berdasarkan data yang ada, kebanyakan kes adalah berpunca daripada kluster kilang yang telah menjalankan operasinya meskipun kerajaan terdahulu mengumumkan bahawa negara sedang “total lockdown”.

Pada peringkat ini, sekatan ketat yang pernah dibuat ketika Perintah Kawalan Pergerakan yang pertama dahulu perlu dilaksanakan sekurang-kurangnya selama sebulan.

Negara tidak boleh lagi melaksanakan suatu sekatan yang bersifat “separuh masak” atau “lockdown jadi-jadian” bagi mengelakkan keadaan yang sama berulang tanpa kesudahan.

Walaupun ia bakal memberi impak kepada ekonomi, saya juga percaya bahawa sekurang-kurangnya ia dapat menjamin kemaslahatan rakyat bagi waktu mendatang. Dalam masa yang sama, kita tidak perlu lagi melalui fasa ini secara berulang-ulang seperti yang telah dicatat oleh sejarah.

Kedua, pembinaan atau sekurang-kurangnya penyediaan hospital Covid-19 perlu disegerakan.

Walaupun terdapat desas-desus menyatakan bahawa keadaan hospital pada masa ini adalah semakin terkawal, tetapi penyediaan hospital yang dikhaskan untuk menyelia pesakit Covid-19 perlu juga dibuat bagi mempercepat usaha untuk menangani pandemik ini. Selain itu, hal ini juga adalah penting bagi memastikan pesakit bukan Covid-19 juga mendapat khidmat kesihatan yang sama rata.

Kesimpulan

Akhir sekali, walau siapa yang dilantik sebagai perdana menteri nanti, saya berdoa supaya sasaran utama negara pada waktu ini bagi memerangi Covid-19 dapat diusahakan dengan segera.

Saya juga ingin ingin menzahirkan ucapan terima kasih kepada TSMY dan kabinet terdahulu atas khidmat yang telah diberikan. Kepada Allah kita berserah.

Khairul Naim Rafidi
Penulis merupakan Peguambela dan Peguamcara di Tetuan Khairul Naim Rafidi