KUALA LUMPUR – Tindakan keterlaluan penyerang Penang FC, Jafri Firdaus Chew ke atas pemain Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Rabih Ataya kini menjadi perbualan berbanding kekalahan besar pelawat kepada tuan rumah di Stadium Darul Aman, Alor Star malam tadi.
Insiden pada minit ke-71 itu menyaksikan Jafri melakukan satu terjahan tinggi pada kaki Rabih yang dianggap berbahaya dan mampu menyebabkan pemain lawan mengalami kecederaan yang serius.
Tindakan Jafri itu bagaimanapun sekadar dilayangkan kad kuning oleh pengadil perlawanan dan pemain import dari Lubanan itu kemudiannya dikeluarkan sejurus selepas insiden tersebut.
Insiden kekasaran itu mendapat pelbagai reaksi daripada penyokong bola sepak yang turut meluahkan rasa tidak puas hati dengan kekasaran yang tidak sepatutnya berlaku itu.
Tidak kurang juga yang mempersoalkan keputusan pengadil yang sekadar melayangkan kad kuning kepada Jafri yang dianggap ringan berbanding kekasaran yang dilakukan.
Jika situasi sama berlaku di luar negara, kebiasaannya pengadil akan melayangkan kad merah.
Malah laporan dari pengadil turut akan diteliti oleh jawatankuasa pertandingan dan tindakan tambahan akan diberikan sekiranya perlu. – MalaysiaGazette