Home Nasional Premis perniagaan perlu pastikan pelanggan lengkap divaksinasi

Premis perniagaan perlu pastikan pelanggan lengkap divaksinasi

Seorang pelanggan menunjukkan sijil digital vaksinasi sebelum memasuki premis untuk mengunting rambut selepas kerajaan membenarkan beroperasi buat negeri Fasa 1 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kedai Gunting Rambut Image, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 16 OGOS 2021.

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengingatkan semua pemilik premis perniagaan supaya memastikan pelanggan yang memasuki premis menunjukkan sijil digital vaksinasi Covid-19 bagi membuktikan individu tersebut telah menerima vaksinasi lengkap iaitu bagi jenis vaksin yang memerlukan dua dos suntikan (Pfizer, AstraZeneca, dan
Sinovac).

Malah, individu berkenaan mestilah telah melepasi hari ke14 dari tarikh suntikan dos kedua atau bagi jenis vaksin yang hanya memerlukan satu dos suntikan (Johnson & Johnson dan CanSino), individu berkenaan mestilah telah melepasi hari ke-28 dari tarikh suntikan.

Dalam kenyataan di sini, KPDNHEP turut memaklumkan semua syarikat di bawah sektor perdagangan pengedaran yang dibenarkan beroperasi semula tidak perlu mengemukakan maklumat pekerja yang telah mendapat vaksin lengkap untuk beroperasi.

Sub-sektor perdagangan pengedaran di Negeri-negeri di bawah Fasa 2 PPN (Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak, Pulau Pinang dan Sabah) boleh beroperasi semula tanpa perlu mencapai kadar vaksinasi lengkap 50% populasi dewasa di negeri berkenaan dan pemilik premis perlu membuat permohonan kebenaran beroperasi melalui sistem Centralised Information Management System (CIMS) di pautan https://notification.miti.gov.my/login.

Walau bagaimanapun pemain industri dan pemilik premis boleh beroperasi tanpa perlu menunggu kelulusan daripada KPDNHEP dan semua bukti permohonan melalui CIMS hendaklah disimpan untuk dijadikan bukti bila diperlukan.

Pada 15 Ogos lalu, Perdana Menteri Sementara, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kelonggaran kepada 22 sub-sektor perdagangan dan pengedaran untuk beroperasi semula berkuatkuasa 16 Ogos 2021 dengan syarat kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa di negeri berkenaan mestilah telah mencapai sekurang-kurangnya 50% dan individu-individu yang ingin memanfaatkan kemudahan ini juga mestilah telah menerima vaksinasi lengkap. – MalaysiaGazette