Home Nasional Restoran, pelanggan dine-in dikompaun RM54,000

Restoran, pelanggan dine-in dikompaun RM54,000

Antara 22 pelanggan yang dikompaun RM2,000 seorang kerana melanggar SOP Covid-19 dan dine-in di sebuah restoran dengan masuk mengikut pintu belakang dalam serbuan Isnin lalu di Dataran Mentari Sungai Way, Petaling Jaya.

KUALA LUMPUR – Pengurus sebuah restoran dan 22 pelanggan dikompaun berjumlah RM54,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam serbuan polis di Sungai Way, Petaling Jaya pada Isnin lalu.

Pengurus restoran itu dikompaun RM10,000 kerana membenarkan pelanggan makan di dalam premis manakala setiap pelanggan dikompaun RM2,000 kerana menjamu selera dalam restoran berkenaan

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, bertindak atas risikan dan maklumat polis membuat serbuan ke sebuah restoran di Dataran Mentari, Sungai Way.

“Serbuan dilakukan kerana disyaki berlaku perlanggaran prosedur operasi standard (SOP) dan disyaki membenarkan pelanggan menjamu di sana atau dine in di restoran itu semasa tempoh PPN Fasa 1 Covid-19.

“Hasil serbuan sekitar jam 7.45 malam itu, pengurus restoran yang merupakan seorang lelaki warganegara tempatan berumur 26 tahun telah mengemukakan lesen penyediaan makanan yang telah tamat tempoh pada Jun 2021 dan gagal mengemukakan lesen perniagaan minuman keras bagi tahun 2021.

“Polis juga merampas 10 botol minuman keras pelbagai jenama yang disajikan kepada pelanggan di restoran itu dan semasa serbuan dijalankan, terdapat 22 orang pelanggan terdiri daripada 15 lelaki dan tujuh wanita warganegara tempatan sedang leka menikmati makanan di dalam restoran tanpa sedikitpun mempedulikan peraturan Covid-19 yang melarang dine-in sehingga kini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau kesemua mereka yang ditahan berusia 21 hingga 42 tahun dan siasatan mendapati modus operandi restoran tersebut adalah dengan membenarkan pelanggan masuk untuk dine-in melalui pintu belakang.

Menurut Mohamad Fakhrudi, pengurus restoran berusia 26 tahun telah ditahan dan dikeluarkan tindakan kompaun sebanyak RM10,000 kerana melakukan kesalahan di bawah Peraturan 17(2) PPPPB (no. 3) 2021 iaitu membenarkan pelanggan makan di dalam premis restoran.

“Manakala 22 orang pelanggan yang dine-in dalam restoran itu sebagai melanggar peraturan SOP pula telah dikeluarkan denda kompaun sebanyak RM2,000 setiap seorang kerana melakukan kesalahan di bawah peraturan 17(1) PPPPB (no. 3) 2021 iaitu makan di dalam premis restoran tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 76 Akta Eksais 1976.

“Jumlah keseluruhan kompaun yang dikeluarkan membabitkan 22 pelanggan dan juga pengurus restoran itu adalah berjumlah RM54,000 ke atas mereka,” ujarnya.

Berikutan itu, Mohamad Fakhrudin menasihatkan peniaga dan orang ramai agar sentiasa mematuhi SOP Pelan Pemulihan negara Fasa 1 sebagai mana yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara. – MalaysiaGazette