Home Nasional Bekas eksekutif pembelian syarikat minyak dan gas didenda RM7,000

Bekas eksekutif pembelian syarikat minyak dan gas didenda RM7,000

Nor Azleela Ali berjalan sambil menutup wajahnya ketika keluar dari Mahkamah Sesyen selepas didakwa dengan tuduhan menerima rasuah.

KUALA LUMPUR – Seorang bekas eksekutif syarikat minyak dan gas asli didenda RM7,000 selepas gagal melaporkan kesalahan rasuah yang diberikan kepadanya tahun lalu.

Tertuduh, Nor Azleela Ali, 43, yang merupakan eksekutif pembelian ketika itu mengaku bersalah atas dua pertuduhan pilihan yang disabitkan ke atasnya di Mahkamah Sesyen hari ini.

Hakim Mahkamah Sesyen, Suzana Hussin turut menetapkan seandainya tertuduh gagal membayar maka dia boleh dipenjara selama dua bulan.

Terdahulu tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah mengurangkan jumlah denda dan tidak mengenakan hukuman penjara dengan alasan tidak mempunyai pendapatan selepas diberhentikan kerja.

Malah tertuduh kelihatan begitu emosional dan mendedahkan dirinya mengalami kekangan kewangan kerana menyara keluarganya.

“Saya mengaku salah dengan apa yang saya lakukan. Sepanjang berada dalam lokap SPRM selepas ditahan sudah cukup memberi pengajaran.

“Pada sama saya juga mempunyai tanggungan keluarga iaitu ibu yang sudah uzur serta seorang adik yang merupakan Orang kelainan Upaya (OKU),” katanya dengan suara terketar-ketar.

Ketika itu, hakim turut memberikan kata-kata nasihat kepada tertuduh berfikir secara mendalam sebelum bertindak atau terpaksa berhadapan dengan perkara seperti ini.

Tertuduh kemudian membayar jumlah denda tersebut.

Mengikut kertas pertuduhan pilihan pertama dan kedua tertuduh sebagai seorang Senior Buyer di Sapura Energy Berhad telah diberikan wang suapan RM4,000 oleh individu yang merupakan pengarah sebuah syarikat melalui akaun simpanan Bank CIMB milik tertuduh.

Wang suapan itu diberikan kepada tertuduh sebagai dorongan membocorkan maklumat harga tender syarikat lain bagi projek daripada Sapura Energy Berhad.

Tindakan ini melanggar peruntukkan Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) dengan tertuduh gagal melaporkan kesalahan pemberian suapan tersebut kepada SPRM dan pihak polis.

Kesalahan itu dilakukan di Bank CIMB, Cawangan Solaris Mount Kiara, Jalan Solaris di sini masing-masing pada 23 Mei dan 6 Oktober 2020 yang didakwa mengikut Seksyen 25(1) akta SPRM 2009.

Kesalahan itu boleh dihukum dibawah Seksyen 25(2) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM100,000 atau dipenjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM Noryusriza Zulkifli yang mewakili pendakwaan mengesahkan tertuduh telah ditahan reman selama empat hari bermula 14 April hingga 17 April lalu dan terpulang mahkamah untuk menjatuhkan hukuman.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh yang bertanggungjawab terhadap kerja-kerja tender pembekalan cat untuk projek EPIC of Pegaga Development telah menghubungi seorang lelaki dan meminta wang sagu hati kerana tertuduh telah membocorkan maklumat berkaitan harga tender syarikat lain yang bersaing untuk tender bagi perojek tersebut.

Hasil siasatan mendapati tertuduh gagal melaporkan pemberian rasuah RM4,000 yang dimasukkan ke dalam akaun tertuduh yang mana ia sebagai dorongan tertuduh membocorkan maklumat. – MalaysiaGazette