Home Nasional Ismail Sabri ketuai rombongan mengadap Agong sesi petang

Ismail Sabri ketuai rombongan mengadap Agong sesi petang

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob Foto SYAFIQ AMBAK, 19 OGOS 2021. -

KUALA LUMPUR – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengetuai rombongan sesi mengadap Yang di-Pertuan Agong yang dijangka berlangsung pada pukul 2 petang ini.

Bas yang membawa ahli Parlimen UMNO itu bergerak menuju ke Istana Negara pada pukul 1.05 petang diiringi anggota polis trafik dan kenderaan peribadi mereka.

MalaysiaGazette difahamkan, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak menyertai rombongan tersebut tetapi menggunakan kenderaannya sendiri untuk ke Istana Negara.

Ismail Sabri juga sempat melambai ke arah petugas media yang menunggu beliau di pekarangan Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Selain ahli Parlimen Bera itu, turut menaiki bas yang sama adalah Datuk Seri Dr. Adham Baba (Tenggara); Datuk Halimah Mohamed Sadique (Kota Tinggi); Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah (Lenggong) dan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (Baling).

Terdahulu, pada sesi pagi, Datuk Seri Najib Razak mengetuai rombongan ahli Parlimen UMNO ke Istana Negara bagi mengesahkan surat akuan bersumpah (SD) sokongan kepada calon Perdana Menteri kesembilan. – MalaysiaGazette