Home Nasional Najis bersepah, penduduk Kampung Dato Sulaiman Menteri kesal aduan tidak dipedulikan

Najis bersepah, penduduk Kampung Dato Sulaiman Menteri kesal aduan tidak dipedulikan

Setiap kali hujan lebat sisa najis dari longkang berkenaan akan melimpah keluar ke rumah penduduk sekitar.

JOHOR BAHRU – Lebih 200 penduduk di Kampung Dato Sulaiman Menteri  di sini terpaksa berdepan bau busuk sisa kumbahan selepas hujan lebat sejak setahun lalu.

Masalah itu dakwa mereka, berpunca daripada kegagalan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) menyelenggara sistem perparitan kawasan terbabit.
Seorang penduduk, Ismail Osman berkata, sistem perparitan yang tersekat menyebabkan air bertakung hingga melimpah ke rumah mereka.
Ismail Osman
Keadaan menjadi bertambah buruk apabila segelintir peniaga melakukan penambahan stuktur premis melebihi kawasan yang sepatutnya, tidak diambil peduli oleh pihak berkuasa.
Dalam kejadian hujan lebat baru-baru ini,  melimpah ke rumah penduduk sehingga ke paras pinggang.
Walaupun kedua-dua masalah itu telah dimaklumkan kepada pihak MBJB, Ahli Majlis zon terlibat termasuk wakil rakyat di kawasan itu ,namun sehingga hari ini belum ada sebarang tindakan dilakukan.
“Air naik kerana salah satunya, deretan kedai depan rumah saya ada buat penambahan sehingga ke parit. Jadi apabila hujan, air akan naik sebab longkang tersumbat.
“Keduanya, kalau kita lihat belakang kedai yang ada sekarang ini, mereka buat dapur, bila dapur tentu ada bilik air tetapi lubang najis semua jatuh atas parit.
“Apabila hujan najis semua melimpah masuk rumah kami. Saya haraf pihak majlis ambil tindakan.
“Sebelum ini kami ada buat aduan dengan pihak majlis, ADUN dan MBJB tetapi tiada tindakan, jadi kalau najis sudah melimpah kita yang menanggung sendiri,” katanya ketika ditemui di sini.
Sementara itu, seorang lagi penduduk, Suriani Osman memberitahu, banjir kilat yang berlaku itu menyebabkan kerosakan barang elektrik sehingga mencecah ribuan ringgit.
Lebih meloyakan, hampir ke semua penduduk terjejas banjir di kawasan itu terpaksa membersihkan najis yang melimpah masuk di kawasan rumah mereka.
Kecewa dengan aduan penduduk tidak diambil peduli oleh pihak berwajib, Suriani merayu agar ada pihak yang ambil peduli sehingga masalah ini diselesaikan.
Jelas Suriani, aduan mengenai masalah itu kerap diajukan oleh wakil penduduk, namun hingga kini diabaikan pihak berwajib.
“Ya lah air najis masuk depan belakang, mestilah marah, geram.
“Cuma minta pihak berharap pihak berkuasa bantu.
“Sudahlah longkang kecil, ditambah pulak mereka buang najis begitu, kalau boleh ambil tindakan,” katanya.- MalaysiaGazette