Home Utama Pendakwah terkenal hadir ke Bukit Aman

Pendakwah terkenal hadir ke Bukit Aman

Kenderaan Hilux yang dipercayai membawa pendakwah terkenal tiba di Bukit Aman pagi tadi.

KUALA LUMPUR – Pendakwah terkenal hadir di Bukit Aman hari ini untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan polis dalam kes gangguan seksual.

Individu itu hadir dengan menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda Hilux sekitar jam 8.59 pagi tadi.

Kenderaan itu berhenti di hadapan pondok polis di pintu masuk utama Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia.

Kemudian seorang individu memakai kopiah putih dilihat turun daripada kenderaan tersebut.

Kehadirannya disambut oleh beberapa orang individu, dipercayai anggota polis berpakaian preman lalu mengepung penceramah itu sehingga wajah dia tidak dapat dilihat atau dirakam oleh media yang sudah menunggu sejak awal pagi.

Pendakwah yang mengenakan jubah biru itu kemudian dibawa masuk ke dalam pondok keselamatan untuk proses pengambilan pas pelawat dan seterusnya merakam keterangan oleh Bahagian D11 Bukit Aman pagi ini.

Para pengamal media dan jurukamera yang tiba berkumpul di bawah pokok di hadapan Bukit Aman juga tidak dapat merakam kemunculan individu itu dengan jelas disebabkan dihalang kenderaan yang melintas di hadapan, selain anggota polis yang menutup peluang dan ruang lensa kamera.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abdul Jalil Hassan  ketika dihubungi pagi tadi untuk meminta pengesahan kehadiran pendakwah itu ke Bukit Aman tidak mahu mengulas lanjut.

“Sekejap lagi satu kenyataan akhbar akan dikeluarkan, yang boleh sahkan kehadiran (pendakwah terkenal),” katanya.

Semalam MalaysiaGazette melaporkan seorang pendakwah terkenal itu dipanggil untuk diambil keterangan hari ini.

Siasatan dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.- MalaysiaGazette