KOTA KINABALU – Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-16, yang dijadualkan bersidang tiga hari mulai 24 Ogos ini, ditangguhkan pada 21 hingga 23 Sept depan.
Penangguhan itu dimaklumkan Speaker DUN Sabah Datuk Kadzim M Yahya dalam kenyataan, hari ini.
Kadzim berkata satu warta kerajaan telah dikeluarkan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Safar Untong hari ini, memaklumkan penangguhan persidangan DUN Sabah itu dibuat selepas mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin.
Pada awal bulan ini, Kadzim mengumumkan sidang DUN Sabah diadakan pada 24 hingga 26 Ogos, dengan pelbagai prosedur operasi standard ditetapkan antaranya Ahli Dewan Undangan Negeri perlu mengemukakan keputusan ujian saringan COVID-19 tiga hari sebelum bersidang bagi mengekang penularan wabak COVID-19.
Kali terakhir persidangan DUN Sabah diadakan adalah pada 18 hingga 23 Dis tahun lepas bagi membentang dan membahaskan Belanjawan Negeri 2021.
— BERNAMA