KUALA LUMPUR – Pengendali Sri Pahang FC, Dollah Salleh berharap anak buahnya tidak boleh ulangi kesilapan sama ketika tewas kepada Terengganu FC tempoh hari apabila menentang Kuala Kumpur City FC (KL City) malam ini.
Jelasnya, KL City yang dilihat lebih konsisten berbanding Sri Pahang pastinya tidak akan membiarkan mereka tersungkur di Stadium Darul Makmur dan mengharapkan kembalinya pemain seperti Manuel Hidalgo dan Abubakar Yakubu dalam kesebelasan utama dapat memberikan sesuatu.
“Masa lawan dengan Terengganu hari itu, saya pun pelik kenapa pemain-pemain saya tidak beraksi seperti mana yang kita harapkan, tidak macam selalu.
“Harapnya menentang Kuala Lumpur esok akan ada perubahan yang lebih positif dan kemasukan semula Hidalgo, Abubakar Yakubu dalam skuad utama dapat memantapkan lagi pasukan.
“Cuma saya sentiasa ingatkan pemain bahawa sekarang kita tidak boleh lagi selesa sebab hanya beza beberapa mata sahaja dengan pasukan di zon penyingkiran.
“Jadi harapnya kita mampu menang sebab lawan esok juga makin lama makin garang dan lebih konsisten kalau nak dibandingkan dengan Sri Pahang sekarang”, katanya.
Kuala Lumpur ketika ini menghuni tangga keenam Liga Super dengan 24 mata manakala Sri Pahang di kedudukan kesembilan dengan 17 mata. – MalaysiaGazette