PANDEMIK Covid-19 yang melanda banyak memberi kesan terhadap pelbagai sektor termasuklah kesihatan, pendidikan, sosial, ekonomi dan banyak lagi. Anak-anak kehilangan ibu bapa, ibu bapa kehilangan anak-anak, majikan kehilangan pekerja, pekerja kehilangan sumber pendapatan, guru-guru tidak dapat menjalankan tugas pengajaran dan pembelajaran seperti dahulu dan anak-anak setelah dua tahun tidak dapat ke sekolah, sedikit sebanyak turut terjejas terutamanya bagi mereka yang baharu sahaja hendak mengenal huruf.
Di luar negara, Hari Kemanusiaan Sedunia ini disambut bagi memperingati petugas misi kemanusiaan yang terkorban di dalam sebuah serangan bom di Baghdad pada tahun 2003 yang mengorbankan 22 nyawa termasuk ketua misi tersebut. Saban tahun, sambutan ini memberi tumpuan kepada sesuatu tema tertentu dan menggabungkan beberapa badan dan pertubuhan yang terlibat dengan sistem kemanusiaan bagi memberi sokongan kepada kelangsungan hidup, kesejahteraan dan maruah mereka yang terlibat dengan pelbagai krisis di seluruh dunia, dan yang turut dititiberatkan juga keselamatan dan kesejahteraan petugas misi-misi kemanusiaan sebegini.
Tahun ini sambutan bertemakan perubahan iklim sedunia yang memberi impak terutama sekali kepada golongan yang berisiko. Kecemasan iklim atau lebih dikenali dengan the climate emergency sedang berlaku dengan terlalu pantas dan ia menyebabkan mereka yang bertugas di barisan hadapan dan komuniti kemanusiaan tidak berdaya untuk membendungnya. Usia bumi yang semakin uzur ditambah dengan kemusnahan akibat tangan-tangan manusia menjadikan proses ini semakin rumit dan masa mencemburui usaha mereka.
Di Malaysia, walaupun tiada berlaku isu kebuluran akibat peperangan, perang saudara, pergaduhan antara puak dan sebagainya, isu kemanusiaan turut menjadi tumpuan di mata dunia dan masyarakat setempat. Selain daripada pandemik, negara turut mengalami masalah kemanusiaan yang lain termasuklah kes keganasan rumahtangga, masalah sosial dan isu kehilangan pekerjaan yang mengakibatkan pelbagai masalah sosial hari ini. Oleh itu, bantuan dan aktiviti kemanusiaan amat dititikberatkan bagi memastikan kelangsungan hidup pelbagai lapisan masyarakat ini.
Bersempena dengan Hari Kemanusiaan Sedunia yang disambut pada 19 Ogos setiap tahun, marilah kita sama-sama menitikberatkan sifat-sifat kemanusiaan di dalam diri kita dan ahli masyarakat supaya kemakmuran dan kesejahteraan sama dapat dirasai.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Tidak beriman (sempurna iman) seseorang itu sehingga dia kasih kepada saudaranya sebagaimana dia kasih kepada dirinya sendiri.” Ini menegaskan peri pentingnya kasih kepada saudara iaitu ahli masyarakat dalam agama. Seterusnya Ibnu Abas turut meriwayatkan sepotong hadis Nabi Muhammad SAW yang berbunyi, “Tidak termasuk orang mukmin, orang yang kenyang sementara tetangganya kelaparan.”
Kedua-dua hadis ini merupakan di antara bukti yang menunjukkan betapa Islam menggalakkan umatnya bersatu hati dan mengambil berat terhadap jiran tetangga yang berada di dalam kesusahan. Selain daripada bergerak secara individu, terdapat juga sekumpulan individu yang turut sama menggembleng tenaga secara berkumpulan seperti organisasi bukan kerajaan (NGO) bagi memastikan hak kemanusiaan masyarakat turut terbela.
Dr Jannatul Madihah binti Abu Bakar
Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA)