Home Nasional KASA salur peruntukan segera hampir RM5 juta bantu Kedah

KASA salur peruntukan segera hampir RM5 juta bantu Kedah

Ir. Dr. Zaini Ujang

PUTRAJAYA – Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) memperuntukkan bantuan hampir RM5 juta bagi melaksanakan kerja pembaikan kerosakan sistem bekalan air, saliran dan pengairan serta tebatan banjir di Yan dan Kuala Muda, Kedah.

“Peruntukan ini telah digunakan serta merta bagi bagi membolehkan kerja-kerja pemulihan dijalankan dengan segera,” kata Ketua Setiausaha KASA Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, Kerajaan Kedah pula akan memperbaiki kerosakan infrastruktur seperti bekalan elektrik, sistem perparitan, jalan raya dan jambatan.

Zaini berkata, perkara tersebut diputuskan hasil perbincangan dengan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor di kediaman rasmi menteri besar malam semalam.

Beberapa penempatan di Yan dan Kuala Muda dilanda banjir pada Rabu lepas akibat fenomena kepala air di kawasan puncak Gunung Jerai. Insiden itu dilaporkan meragut empat nyawa setakat ini selain mengakibatkan kerosakan pelbagai infrastruktur, fasiliti dan kemudahan.

KASA mengenal pasti dua punca utama yang menyebabkan kejadian banjir itu iaitu hujan lebat luar biasa dalam tempoh singkat di kawasan puncak Gunung Jerai menyebabkan fenomena kepala air, dan halangan sampah sarap, kayu dan reba pokok yang tersangkut pada binaan struktur jambatan dan lintasan.

Zaini turut memaklumkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) telah menyelaras kerja-kerja pembaikan dan pemulihan bekalan air termasuk menggerakkan Rejimen Pakar Pengendalian Air ke-60 Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) Askar Wataniah (AW).

“Bantuan lori tangki operator air turut disediakan untuk menghantar bekalan air serta mengagihkan bantuan 1,000 botol air minuman (berkapasiti 5 liter) kepada penduduk di kawasan terjejas,” katanya.

Orang ramai dinasihatkan sentiasa mengikuti laporan ramalan cuaca serta banjir menerusi sumber sahih seperti Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dan aplikasi MyPublic Info Banjir. – MalaysiaGazette