Home Politik Muhyiddin ibarat lilin membakar diri – Armada

Muhyiddin ibarat lilin membakar diri – Armada

Facebook Wan Ahmad Fayhsal.

KUALA LUMPUR – Ahli-ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak perlu bersedih hati sebaliknya mereka mesti berbangga walaupun presiden parti itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak lagi menjadi perdana menteri

Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Bersatu itu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, ini kerana  langkah yang diambil Muhyiddin menunjukkan Ahli Parlimen Pagoh itu berjiwa besar.

Jelas bekas Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Muhyiddin meletakkan kepentingan diri ke tepi sebaliknya mengutamakan negara dan rakyat serta menolak kerosakan yang lebih besar.

“Inilah pemimpin yang cakap serupa bikin, persis lilin yang membakar diri,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook miliknya di sini malam ini.

Petang tadi, Istana Negara mengumumkan Yang di-Pertuan Agong berkenan menerima Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri baharu negara ini menggantikan Muhyiddin yang meletak jawatan pada 16 Ogos lalu.

Ismail Sabri sebelum ini dilantik menjadi timbalan kepada Muhyiddin pada 7 Julai lalu.

Wan Ahmad Fayhsal menambah, dia faham ramai ahli Bersatu sedih dan kecewa apabila Muhyiddin tidak lagi menjadi perdana menteri.

“Kenapa kita perlu bersedih sedangkan Tan Sri Presiden sendiri yang paling awal menurunkan sokongan kepada YAB Datuk Seri Ismail Sabri untuk menjadi pengganti beliau,” katanya.

Sebagai ahli Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal menegas, ahli parti patut berbangga kerana Muhyiddin menunjukkan contoh yang cemerlang selaku pemimpin Melayu tersohor.

Katanya, Muhyiddin berkorban untuk mengelakkan perpecahan Melayu dan menjaga nyawa serta kehidupan rakyat yang terkesan akibat Covid-19.

“Bayangkan kalau kita pertahankan ego dan asabiyah kepartian kita, apa jadi kepada kesatuan yang kita bina bersama semua rakan-rakan yang membentuk kerajaan PN sebelum ini?

“Jangan marahkan nyamuk, habis kelambu dibakar! Akhirnya menang sorak, kampung tergadai persis pembangkang yang bercempera kerana masing-masing tak mahu mengalah untuk menjadi calon perdana menteri,” katanya.

Sebelum ini juga kata Wan Ahmad Fayhsal, Bersatu telah berkorban banyak seperti dilakukan di Johor, Melaka dan Perak.

“Tapi tetap tindakan-tindakan politik yang dibuat oleh Muhyiddin kekal sama dan istiqamah memelihara integriti kerajaan dan kestabilan politik.

“Tiada politik membalas dendam kerana kita faham norma politik baru di Malaysia adalah berasaskan muafakat koalisi yang perlu bertolak ansur demi kestabilan negara,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.