KONFLIK politik yang berlaku ketika ini akan menguntungkan siapa? Diantara tokoh-tokoh politik ini, pasti akan ada impak sama ada positif mahupun negatif terhadap mereka secara langsung dan juga parti mereka secara tidak langsung.
Menerusi penelitian dan pembacaan saya, tokoh-tokoh politik ini akan terkesan dengan percaturan politik ini. Nama yang disokong mereka untuk menjadi Perdana Menteri akan menentukan masa depan politik mereka dan negara.
Tan Sri Muhyiddin Yassin
Jelas karier politik untuk Muhyiddin Yassin berakhir dengan perletakan jawatan sebagai
Perdana Menteri Malaysia. Harapan tipis untuk beliau dilantik semula melalui kerjasama
parti-parti UMNO dengan Perikatan Nasional semata-mata.
Ini kerana yang menjatuhkan beliau ialah parti UMNO. Sekiranya Muhyiddin Yassin ingin disokong semula menjadi perdana menteri, sokongan daripada pihak pembangkang perlu diperoleh agar perkara yang sama tidak berulang lagi.
Beliau memerlukan sokongan yang lebih baik dari 115 ahli parlimen agar kedudukannya dilihat kukuh oleh YDPA.
Sekiranya calon Perdana Menteri bukan dari Bersatu, tugas berat menanti presiden parti
Bersatu, Muhyiddin Yassin untuk mengepalai Bersatu agar terus relevan selepas PRU 15 nanti.
Namun untuk memastikan survival Bersatu dan terus relevan, apakah tindakan dan strategi paling terbaik untuk Bersatu?
Adakah Bersatu di bawah gabungan Perikatan Nasional perlu terus bekerjasama dengan
UMNO dan menyokong Perdana Menteri calon UMNO atau kembali semula ke meja rundingan bersama rakan-rakan lama yang mereka khianati dahulu, – Pakatan Harapan.
UMNO hanya memerlukan tempoh 17 bulan untuk menjatuhkan Muhyiddin Yassin, dan cuba menerajui kembali tampuk pemerintahan negara.
Sejarah pernah membuktikan UMNO pernah mengambil alih Kelantan selepas berjaya menyingkirkan Pas setelah mereka bekerjasama di dalam kerajaan.
Pas berpecah kepada beberapa serpihan parti. Bagaimana pula nasib survival Bersatu?
Dato Seri Zahid Hamidi
17 bulan menjadi kerajaan dengan menyokong Perikatan Nasional sebagai presiden parti
terbesar di dalam gabungan memberikan pengajaran kepada beliau.
Pengajaran yang besar buat beliau ialah kuasa seorang presiden parti akan bertembung dengan kuasa seorang perdana menteri.
Ini merupakan cabaran besar buat Presiden UMNO kerana selama ini Presiden UMNO mengepalai parti bersama-sama dengan kuasa sebagai perdana menteri.
Hari ini terbongkar bagaimana ROS digunakan pihak kerajaan untuk menekan UMNO agar
Zahid Hamidi dapat diketepikan.
Saya percaya sekiranya Perdana Menteri kali ini daripada UMNO tetapi bukanlah Presiden
UMNO, Ismail Sabri atau Hishamuddin Hussein misalnya.
Saya yakin, perkara utama yang perlu dilakukan adalah memastikan parti UMNO membuat pemilihan parti dan mengangkat perdana menteri yang dipilih ketika krisis ini menjadi presiden UMNO, ini bagi membolehkan beliau mendapat mandat sebagai perdana menteri selepas PRU 15 diumumkan.
Sekiranya calon Perdana Menteri bukan presiden UMNO, maka cabaran seperti mana 17 bulan untuk mengemudi UMNO sekali lagi akan dirasai Zahid Hamidi. Pergolakan dalaman parti dan kumpulan-kumpulan yang menyokong presiden dan menyokong perdana menteri akan jelas kelihatan.
UMNO perlu buat mendapatkan sokongan rakan komponen daripada Perikatan Nasional agar menyokong Zahid Hamidi sebagai Perdana Menteri.
Dato’ Sri Ismail Sabri
Ismail Sabri dinaikkan oleh Perikatan Nasional sebagai Timbalan Perdana Menteri dan ianya bukanlah daripada cadangan parti UMNO.
Oleh itu, Ismail Sabri perlu mendapatkan restu dan mandat daripada parti UMNO untuk menyalahi tradisi dengan menjadi satu-satunya perdana menteri yang merupakan bukan presiden UMNO.
Kepercayaan dan kesetiaan kepada presiden dan parti juga harus dilihat dan dibuktikan oleh Ismail Sabri.
Namun baru-baru ini, apabila beliau bersama rakan-rakan menteri yang lain berkumpul menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin memberikan satu isyarat bahawa Ismail Sabri tidak akan mengikuti keputusan yang dicapai oleh Majlis Tertinggi parti.
Ini akan menyusahkan parti dan ahli sekiranya Ismail Sabri bertindak mendahulukan dan
mementingkan Perikatan Nasional yang telah mengangkat beliau.
Dato Seri Anwar Ibrahim
Ketua pembangkang yang mempunyai sokongan solid daripada Pakatan Harapan ini perlu
merangkul seramai mungkin ahli parlimen daripada UMNO, Perikatan Nasional, GPS atau siapa sahaja untuk menyokong beliau bagi mencukupkan bilangan majoriti.
Pelan pemulihan ekonomi dan kesihatan yang pernah dikongsikan beliau adalah tawaran untuk rakyat melihat kemampuan beliau mentadbir dan mengurus negara.
Tawaran kerjasama di antara Pakatan Harapan dan parti-parti lain perlulah menarik minat dan menguntungkan semua pihak.
Sekiranya Anwar Ibrahim gagal mendapatkan sokongan ahli parlimen sekarang, PRU 15 nanti akan menjadi cabaran besar kepada Pakatan Harapan untuk berdepan semula dengan UMNO-Perikatan Nasional.
Pengundi atas pagar akan mengimbau semula detik pemerintahan 22 bulan Pakatan Harapan walaupun ianya bukan ditabdir dan diuruskan oleh Anwar Ibrahim.
Tun Mahathir Mohamad
Pejuang yang mempunyai 4 orang ahli parlimen menyebabkan ianya sukar untuk menjadi
kuasa besar perbincangan parti-parti walaupun Tun seorang tokoh politik legenda.
Tambahan pula Tun lebih berminat untuk menubuhkan MAGERAN.
Oleh itu, saya jangkakan MAGERAN hanya akan berlaku sekiranya tiada seorang pun mendapat majoriti sokongan sebagai perdana menteri dan ianya tidak semestinya Tun sebagai ketua atau pengerusi kepada MAGERAN tersebut.
Nasib Bekas UMNO di dalam Bersatu
Nama-nama seperti Dato Seri Mustapa Mohamed, Mas Ermieyati Samsuddin dan lain-lain ahli parlimen UMNO yang melompat ke dalam Bersatu, akan menghadapi kesukaran sekiranya UMNO kembali menerajui negara.
Hendak kembali semula kepada UMNO, sudah tentu akar umbi sukar untuk menerima mereka kembali.
Saya percaya PRU 15 nanti, UMNO tidak akan menyerahkan kerusi-kerusi ini kepada Bersatu, kerana jelas mereka menang atas tiket UMNO, maka UMNO masih lagi kuat di kerusi tersebut walaupun berlaku ribut tsunami pilihan raya di seluruh negara pada PRU 14 yang lalu.
Mereka yang pernah meninggalkan UMNO dan melompat kepada Bersatu ini perlu mencari jalan terbaik sama ada ingin menyokong UMNO menjadi Perdana Menteri atau membuat satu keputusan strategi baru dengan menyokong Pakatan Harapan.
Setiap sokongan ahli parlimen menentukan perdana menteri seterusnya dan ia juga
menentukan masa depan politik mereka.
Penutup
Ini adalah pandangan peribadi saya tentang tokoh-tokoh politik yang terlibat di dalam krisis politik ini dan sejauh mana kesan dan impak krisis ini terhadap tokoh-tokoh yang saya nyatakan terebut.
Ya Asrul Yaman Kijas
Nusantara Academy for Strategic Research
Itu namanya bisa parti coalisi dong.
Tak kan tak perasan lagi kot… usaha zahid untok umno memerintah telah berjaya. Putar belit umno dah terkenal amat bijak dari dulu lagi. Kalau tidak tak kan boleh memerintah sampai 60 tahun.