Home Politik Pertemuan MP BN bukan bincang ahli Kabinet – MP Kuala Krau

Pertemuan MP BN bukan bincang ahli Kabinet – MP Kuala Krau

Bakal Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berjalan keluar selepas dipercayai menghadiri pertemuan tertutup di Hotel Royale Chulan Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 20 OGOS 2021.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ismail Mohamed Said menafikan pertemuan ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dengan bakal Perdana Menteri malam ini bagi membincangkan berkenaan pembentukan Kabinet kerajaan baharu.

Ahli Parlimen Kuala Krau yang juga bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri itu juga turut menyangkal senarai nama tular berkaitan individu yang didakwa bakal mengisi jawatan Kabinet.

“Itu tipu, itu tak betul. Kita tak bincang pun pasal Kabinet. Satu ayat pun tak sentuh, hanya ucap tahniah kepada Datuk Seri (Ismail Sabri),” katanya.

Datuk Seri Ismail Mohamed Said

Sebelum itu, bakal Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri mengadakan pertemuan kira-kira dua jam dengan ahli-ahli Parlimen BN di sebuah hotel di sini malam ini.

Naib Presiden UMNO Ismail Sabri Yaakob beredar meninggalkan sebuah hotel di ibu negara selepas lebih dua jam menghadiri sebuah pertemuan tertutup dalam kalangan ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) malam ini.

Ahli Parlimen Bera itu hanya mengangkat tangan kepada petugas media yang menunggu di pekarangan lobi sebelum terus beredar menaiki kenderaannya pada pukul 10.50 malam.

Terdahulu, Ismail Sabri tiba di hotel berkenaan pada pukul 8.30 malam.

Antara lain yang dilihat hadir dalam pertemuan malam ini adalah Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman serta Datuk Seri Zahidi Zainul Abidin.

Selain itu, Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin, Tan Sri Noh Omar (Tanjung Karang), Datuk Seri Wee Jeck Seng (Tanjung Piai-MCA), Datuk Halimah Mohamed Sadique (Kota Tinggi); Arthur Joseph Kurup (Pensiangan-PBRS) turut dilihat meninggalkan hotel.

Petang esok, Ahli Parlimen Bera itu dijangka mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-9 di Istana Negara. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Ismail Sabri jumpa ahli Parlimen UMNO