GEORGE TOWN – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) digesa memantau harga serta kewujudan pengukur kadar oksigen (pulse oximeter) palsu dalam pasaran ketika ini.
Gesaan itu dibuat Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) susulan aduan pengguna mendakwa alat pengukur kadar oksigen berkenaan dijual pada harga tinggi selain sukar memastikan keaslian alat itu.
Pegawai Pendidikan CAP, NV Subbarow berkata, penjualan alat berkenaan kini dijual berleluasa tanpa sekatan termasuk secara online menyebabkan pembeli tidak tahu sebenar fungsi alat tersebut.
Jelas beliau, KPDNHEP harus mengawal harga alat ujian kendiri ini kerana peranti itu dijual dengan harga yang berbeza dan pengguna tidak tahu berapa harga sebenarnya.
“Ia perlu dijual di kedai menjual ubatan atau farmasi, dengan cara ini produk asli dan harga berpatutan tersedia kepada pengguna.
“CAP menasihati pengguna supaya membeli alat berkenaan dengan cadangan doktor yang menjualnya dengan betul di farmasi.
“Membeli menerusi talian dan daripada orang yang tidak berpengalaman, mereka lebih cenderung menjual alat palsu kepada pengguna,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Subbarow berkata, selain menjual pada harga lebih tinggi, pengguna juga berisiko diberikan alat palsu dan jika maklumat yang ditunjukkan adalah salah sekali gus boleh membahayakan nyawa.
Sehubungan itu, orang ramai disaran membeli alat berkenaan di farmasi bagi mendapatkan penerangan mengenai kaedah menggunakannya secara langsung.
“Pengguna boleh mengetahuinya dengan bertanya kepada ejen jualan dan sekiranya peranti tidak berfungsi, ia boleh diganti dengan mudah,” ujar beliau. – MalaysiaGazette