KUALA LUMPUR – Pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri kesembilan perlu diterima dengan tangan dan hati terbuka tanpa sebarang syak wasangka politik.
Presiden MIC, Tan Sri Vigneswaran berkata, inilah masanya semua pihak mengembeleng tenaga untuk menghadapi saat-saat sukar.
Menggunakan perlambangan ranting zaitun sebagai simbol keamanan sejagat, beliau menyeru semua pihak menghayatinya termasuklah pembangkang.
“Ketika mantan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mencadangkan rangka persefahamaan rentas parti dokongan bipartisan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara serta inklusif dengan pengiktirafan kepada parti-parti pembangkang untuk memainkan peranan semak dan imbang yang lebih efektif dan menyeluruh, ianya tidak dipersetujui sehinggalah berlakunya peletakan jawatan beliau sebagai Perdana kelapan sebelum pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri.
“Bagaimanapun, ingatlah pada masa ini kita sedang menempuh satu era pandemik dan ketidakstabilan politik tidak seharusnya berterusan mencengkam kita.
“Kestabilan politik adalah amat penting dalam kita memerangi pandemik Covid-19 dan memulihkan negara. Kita harus akur dan sedar, proses pemulihan negara ini bukan satu usaha perkara yang mudah tetapi memerlukan pengorbanan dan kerjasama semua.
“Saya ingin ambil pendekatan ranting zaitun yang bermaksud simbol keamanan sebagai satu tawaran untuk masa depan lebih baik. Itulah yang perlu diperhalusi,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Menurut Vigneswaran, peluang itu perlu diberikan kepada Ismail Sabri untuk meneruskan usaha memerangi Covid-19 bersama-sama bukan sahaja kerajaan tetapi juga dengan barisan pembangkang.
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat serta Menandatangi Sumpah Jawatan sebagai Perdana Menteri akan jam 2.30 petang ini.
Baginda berkata selaku Ketua Utama Negara menzahirkan pandangan dengan pelantikan Perdana Menteri baharu ini, kerajaan perlu meneruskan usaha memerangi pandemik Covid-19 dengan segera demi kemaslahatan dan keselamatan rakyat serta kesejahteraan negara.
Baginda berharap kemelut politik dapat diakhiri segera dan semua ahli Dewan Rakyat mengetepikan agenda politik dengan bersatu hati dan bersepakat berusaha menangani pandemik Covid-19 demi kepentingan rakyat dan negara.
Jelas Vigneswaran yang juga mantan Yang Dipertua Dewan Negara, titah YDPA juga perlu diperhalusi oleh semua pihak kerana kemelut Covid-19 perlu menjadi keutamaan semua dengan mengetepikan agenda serta ideologi politik semua.
“Bukan saya hendak bercakap kosong sebaliknya pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri sebagai pilihan tepat ketika negara berhadapan krisis kesihatan dan ekonomi.
“Beliau yang juga Naib Presiden UMNO itu mempunyai pengalaman yang luas dalam pentadbiran negara termasuk menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri sebelum ini.
“Selain itu ketika pandemik ini jugalah beliaumenjadi Menteri Kanan (Keselamatan) yang mengendalikan isu berkaitan COVID-19 dan memaklumkan perkembangannya setiap hari secara langsung selama hampir 17 bulan.
”Isu sokongan majoriti yang sebelum ini dipertikaikan ketika era Muhyiddin sudah tidak perlu lagi memandangkan Ismail Sabri diterima ketika ini.
“MIC menjunjung kasih dan menyambut baik keputusan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang berkenan melantik Datuk Seri Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri Malaysia Kesembilan.
“Beliau berpengalaman luas dalam pentadbiran serta pernah menjawat jawatan menteri sejak 2008 lagi. Ini bukan lagi masa untuk menuding jari mahupun mendabik siapa betul dan siapa hebat, ini masa untuk kita semua bekerjasama menjadi satu kerajaan ‘perpaduan’.
“Berilah peluang itu, selesaikan pandemik dahulu kemudian yang lain-lain,” ujarnya.- MalaysiaGazette
yi na deiii…. pooo dah…