Home Sukan Anderson disiasat kes penggubahan wang haram

Anderson disiasat kes penggubahan wang haram

Anderson. Foto Daily Mail.

LONDON – Bekas pemain tengah Manchester United, Anderson kini berhadapan tuduhan kes pengubahan wang haram melibatkan nilai £4.7 juta (RM27 juta) menggunakan mata wang kripto, lapor Daily Mail.

Portal itu yang memetik laporan akhbar tempatan Brazil, Globo berkata, Anderson merupakan sebagai salah seorag daripada lapan individu yang berhadapan dakwaan kerana terlibat di dalam aktiviti tersebut.

Pihak pendakwa raya tidak menamakan lapan individu tersebut tetapi Globo mengesahkan Anderson adalah salah seorang daripada yang tertuduh dan kini disiasat.

Laporan sama berkata, semua individu disiasat kerana terlibat dalam aktiviti jenayah termasuk kecurian, terlibat dengan organisasi jenayah, penggubahan wang haram, harta benda, dan hartanah.

Kertas siasatan dan operasi mencegah kegiatan tersebut dipanggil ‘Cryptoshow’, telah mula dilakukan sejak setahun lalu.

Pada peringkat permulaan sisasatan 13 waran geledah telah dikeluarkan di wilayah Porto Alegre.

Apartmen kediaman milik Anderson adalah salah satu lokasi yang turut digeledah.

Anderson ketika bercakap kepada Globo mengesahkan beliau telah melabur dalam mata wang kripto sejak 2019 dan berkata, syarikat kendaliannya telah menjual bitcoins kepada salah sebuah syarikat terlibat.

Dia bagaimanapun mengakui tidak tahu wang itu datang dari sumber yang melanggar peraturan.

Peguam Anderson, Julio Cezar Coitinho Junior berkata, Anderson akan membuktikan beliau merupakan mangsa di dalam kes itu, dan bukan salah seorang pelaku.

Anderson yang kini berusia 33 tahun berasal dari Porto Alegre, sebuah bandar di selatan Brazil.

Karier bola sepak beliau bermula bersama Gremio pada 2006, sebelum berhijrah ke Porto.

Dua musim kemudian, Anderson dipancing Manchester United.

Sepanjang bersama Manchester United, Anderson sempat meraih empat gelaran Liga Premier, selain daripada satu gelaran UEFA Champions League yang dimenanginya pada 2008.

Anderson menjadi ingatan penyokong kerana merupakan salah seorang penjaring gol dalam penentuan sepakan penalti pada perlawanan akhir Champions League 2008 untuk menewaskan Chelsea. – MalaysiaGazette