Home Nasional Empat lelaki ditahan edar dadah bernilai lebih RM100,000

Empat lelaki ditahan edar dadah bernilai lebih RM100,000

KUALA LUMPUR – Polis menahan empat lelaki kerana disyaki terlibat dalam sindiket pengedaran dadah di sekitar Lembah Klang dalam Ops Limestone semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, ACP Sahar Abd Latif berkata, kesemua suspek berusia lingkungan 34 hingga 49 tahun itu ditahan dalam beberapa serbuan dan pemeriksaan di Taman City, Sentul, Taman Mastiara, Jinjang dan Jalan Klang Lama, Brickfields serta Taman Wangsa Permai hasil risikan selama tiga minggu ke atas sindiket terbabit.

“Dalam serbuan itu, polis menjumpai dadah jenis Methamphetamine seberat 2.01 kilogram dan heroin seberat 2.72 kilogram di beberapa premis.

“Seorang daripada empat suspek yang ditahan positif dadah dan keempat-empat mereka mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan jenayah,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Katanya, selain merampas dadah dianggarkan bernilai lebih RM100,000, polis turut merampas  sebuah kenderaan jenis Isuzu D-Max dan sebuah Proton Persona dalam siri serbuan berkenaan.

Sahar berkata, jumlah keseluruhan rampasan dadah itu mampu menampung penggunaan 9,466 pengguna dan Kes disiasat di bawah Seksyen 12(2), Seksyen 15(1)(a) dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – Bernama