TANJONG KARANG – Nama baharu kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak penting buat masa ini.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, kini apa yang penting ialah kerajaan meneruskan usaha menangani pandemik Covid-19.
“Nama (kerajaan baru) tidak penting, yang penting bagaimana kerajaan baru ini akan mengambil langkah-langkah proaktif dan berkesan untuk mengatasi masalah pandemik Covid-19.
“Kedua (penting) bagaimana nak bangunkan semula ekonomi negara kita dan bagaimana kita nak tarik pelabur asing untuk melabur dalam negara kita.
“Bagi saya itu lebih penting, nama (kerajaan baru) cantik tapi kalau tidak berkesan apa maknanya,” katanya pada sidang media penutupan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Tanjong Karang, di sini, hari ini.
Noh diminta mengulas mengenai kenyataan dua pemimpin UMNO bahawa kerajaan baharu pimpinan Ismail Sabri bukannya kerajaan Perikatan Nasional (PN) seperti yang disifatkan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Semalam, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, kerajaan baharu itu adalah kerajaan campuran yang terdiri daripada Barisan Nasional (BN), PN, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Parti Bersatu Sabah (PBS).
Malah Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, jenama PN sebagai kerajaan persekutuan berakhir kerana UMNO bukan sebahagian daripada PN.
Buat masa ini, Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang berkata, semua pihak harus bersatu bagi memastikan kerajaan baharu boleh menang dalam memerangi Covid-19.
“Covid-19 tidak pilih orang, ia musuh kita bersama. Kita kena kerja sebagai satu pasukan,” katanya lagi.
Ditanya mengenai namanya kembali hangat untuk menyertai Kabinet Ismail Sabri, Noh menambah, beliau tidak menerima apa-apa jemputan daripada kerajaan.
“Tidak ada (risik-risik), bila dilantik jadi Menteri Pembangunan Usahawan saya dengar lantikan itu dalam kereta. Saya dengar Kabinet baharu dan terkejut saya jadi menteri, saya hanya tahu apabila diumumkan. Tak pernah orang beritahu saya awal,” katanya.
Nama Noh Omar kembali diperkatakan untuk memegang jawatan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Mengulas lanjut, ujar Noh, beliau tidak mengharapkan jawatan dalam Kabinet dan akan terus berkhidmat kepada rakyat Tanjong Karang.
“Prinsip saya dalam perjuangan bukan mengejar jawatan, yang penting ialah kena teruskan kerja kita dengan ikhlas.
“Sebab itu saya rasa tidak kecewa bila kena gugur jawatan Menteri, semuanya ada hikmah,” katanya lagi.
Noh pernah memegang jawatan Menteri Pembangunan Usahawan pada 2008, Menteri Pertanian dan Asas Tani pada 2009, dan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada 2016. – MalaysiaGazette
rasa tidak puas hati berlarutan hingga akhir hayat….
YANG BETUL DAN TERMAKTUB DALAM PERLEMBAGAAN DAN AKU JANJI……KERAJAAN MALAYSIA=KERAJAAN PERSEKUTUAN
kehidupan sentiasa diuji Musuh dalaman (diri/organisasi/parti sendiri) dan musuh luaran
Musuh dalaman seperti Musuh dalam selimut musang berbulu ayam api dalam sekam gunting dalam lipatan Amat bahaya dari musuh luaran