Home Utama 55.6 peratus rakyat Malaysia lengkap dos vaksin – JKJAV

55.6 peratus rakyat Malaysia lengkap dos vaksin – JKJAV

Bekas pesakit Covid-19, Soh Swee Yu menerima suntikan vaksin jenis AstraZeneca sambil menunjukkan antara gambar yang sempat dirakamnya semasa dalam tempoh rawatan Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pusat Pemberian Vaksin WTCKL, Kuala Lumpur. Foto HAZROL - ZAINAL, 10 JULAI 2021. - Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kira-kira 55.6 peratus daripada populasi dewasa penduduk di negara ini sudah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin Covid-19 sehingga semalam.

Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin Covid-19 (JKJAV) dalam kenyataan memaklumkan, sebanyak 441,100 pemberian dos satu dan dua didaftarkan dalam negara pada 22 Ogos.

Katanya, daripada jumlah itu, 303,545 adalah bagi dos kedua manakala 137,555 dos yang didaftarkan semalam adalah bagi dos pertama.

“Dengan pertambahan itu menyaksikan jumlah peratusan vaksinasi populasi dewasa dalam negara meningkat kepada 55.6 peratus yang sudah melengkapkan vaksinasi mereka, manakala, 78 peratus lagi sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

“Jumlah kumulatif pemberian vaksin dalam negara kini meningkat kepada 31.28 juta,” demikian menurut data yang dikongsikan JKJAV menerusi Twitter hari ini.

JKJAV berkata, bagi peratus populasi keseluruhan pula, 39.9 peratus (13.02 juta) sudah melengkapkan vaksinasi mereka dengan 55.9 peratus (18.25 juta) sudah menerima satu dos suntikan.

“Wilayah Persekutuan mencatatkan peratusan populasi yang melengkapkan vaksinasi tertinggi 90.6 peratus diikuti Sarawak (84.6 peratus), Lembah Klang (83.3 peratus), Negeri Sembilan (71.3 peratus) dan Perlis (61.4 peratus),” ujarnya. – MalaysiaGazette