SHAH ALAM – Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor diingatkan tidak terlalu banyak berpolitik serta merebut kuasa sehingga melupakan tanggungjawab utama untuk membela nasib rakyat khususnya ketika pandemik Covid-19.
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, baginda tidak dapat menyembunyikan rasa dukacita dan kesal apabila melihat pergolakan, pertelagahan dan ketidaktentuan politik Negara yang begitu ketara sejak kebelakangan ini.
“Nampaknya Ahli-ahli Yang Berhormat tidak mahu belajar dari sejarah tentang kejatuhan sesebuah negara akibat perebutan kuasa yang mengakibatkan perpecahan di dalam masyarakat.
“Tidakkah ahli-ahli Yang Berhormat sedar bahawa apabila pemimpin-pemimpin politik berebut kuasa dan keadaan politik menjadi tidak stabil maka rakyat yang terpaksa menanggung kesusahannya.
“Ahli-ahli Yang Berhormat sudah pastinya tahu betapa rakyat sekarang berada di dalam keadaan susah dan menderita di dalam suasana negara dan dunia sedang berhadapan dengan wabak Covid-19 ini,” titah Sultan Selangor ketika Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor ke-14 Tahun 2021 di sini hari ini.
Turut berkenan berangkat masuk Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin.
Baginda juga menitahkan semua ADUN Selangor mengambil tahu tentang masalah yang sedang dihadapi oleh rakyat yang terjejas akibat Covid-19 di kawasan masing-masing sebelum menyalurkan bantuan sewajarnya.
“Ahli-ahli Yang Berhormat juga sepatutnya menyemak jumlah rakyat yang telah hilang pekerjaan dan mencari jalan untuk membantu golongan ini.
“Data-data juga perlu diperolehi daripada mereka yang telah kehilangan ibu bapa tempat pergantungan dan berhadapan dengan masalah tekanan hidup.
“Perkara ini boleh diangkat kepada pihak kerajaan Negeri untuk ditentukan bagaimana bentuk bantuan yang boleh diberikan,” titahnya.
Sultan Sharafuddin turut mengingatkan semua wakil rakyat agar sentiasa bersama dengan rakyat bukan sahaja ketika pilihan raya sahaja, bahkan semasa menghadapi musibah dan pandemik ini.
“Beta mengingatkan Ahli-ahli Yang Berhormat, rakyat di bawah sana memerlukan anda untuk membantu kesusahan yang sedang mereka lalui.
“Bantulah mereka, carilah mereka, bukan sekadar mencari mereka untuk mendapatkan undi sewaktu pilihan raya semata-mata.
“Ingatlah, mandat yang diberi oleh rakyat kepada Ahli-ahli Yang Berhormat semua sebagai wakil rakyat adalah merupakan amanah Allah SWT yang diletakkan ke atas bahu Ahli-ahli Yang Berhormat semua yang perlu dilaksanakan dengan jujur, bertanggungjawab dan penuh keikhlasan,” titahnya lagi. – MalaysiaGazette