SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa dukacita dengan peningkatan jumlah pesakit dan kematian akibat Covid-19 di negeri itu.
Ini kerana disebabkan kelalaian semua pihak terhadap penguatkuasaan dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Menurut baginda, ia berlaku akibat daripada kurangnya penguatkuasaan dijalankan oleh pihak penguatkuasa dan masyarakat mengambil ringan tentang pematuhan SOP khususnya apabila beberapa sektor ekonomi dibuka pada Mei lalu.
“Beta tidak mahu menuding jari kepada mana-mana pihak atas peningkatan kadar kematian dan jumlah pesakit Covid-19 ini.
“Apabila pasar-pasar malam dan pasar Ramadhan dibuka, rakyat dilihat beramai-ramai berkunjung di pasar-pasar tersebut tanpa mengambil berat tentang keperluan penjarakan fizikal dan penggunaan pelitup muka.
“Begitu juga dengan operasi kilang-kilang yang mana pihak majikan telah gagal menyediakan satu SOP ketat untuk pekerja-pekerja mereka yang datang bekerja.
“Kelalaian ini telah mencetuskan gelombang ketiga sehingga kadar kes dan kematian akibat Covid-19 melonjak dengan begitu ketara,” titah Sultan Selangor ketika Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor ke-14 Tahun 2021 hari ini.
Sultan Selangor juga menzahirkan rasa kesal dengan sikap segelintir pemimpin politik dan individu kenamaan (VIP) yang menyalahgunakan kedudukan untuk melanggar peraturan dan SOP ketika Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sebelum ini.
“Lebih memburukkan lagi keadaan apabila terdapat pemimpin politik, golongan kenamaan (VIP) dan selebriti yang menyalahgunakan kedudukan untuk sewenang-wenangnya melanggar perintah yang dikeluarkan ketika PKPD sedang berkuat-kuasa dengan menyertai aktiviti-aktiviti yang dilarang oleh KKM dan MKN.
“Namun apakan daya, nasi sudah menjadi bubur, nyawa rakyat beta yang telah mati akibat wabak Covid-19 tidak dapat dikembalikan,” titahnya.
Baginda juga berharap kesilapan dan kelalaian yang berlaku tidak ulangi semula, malah semua rakyat perlu mengamalkan sikap bertanggungjawab di dalam mematuhi segala SOP yang telah ditetapkan bagi membantu pihak kerajaan dalam menangani wabak Covid-19.
“Beta berharap rakyat Selangor memberi kerjasama sepenuhnya untuk mendapatkan vaksinasi Covid-19 masing-masing seperti yang ditetapkan oleh KKM.
“Ahli-ahli Yang Berhormat semua perlu memainkan peranan untuk menasihatkan rakyat agar segera mengambil suntikan vaksin Covid-19 supaya Selangor boleh mencapai imuniti kelompok pada tarikh yang disasarkan.
“Namun, kepada yang telah mendapat dua dos suntikan vaksin, beta berharap agar jangan ambil mudah dan merasakan diri kebal,” titah Tuanku lagi. – MalaysiaGazette