Home Sukan Penang FC benam Sabah 3-0

Penang FC benam Sabah 3-0

Penang FC

KUALA LUMPUR – Penang FC melonjak ke tangga ketiga carta Liga Super, selepas menewaskan Sabah FC 3-0 pada aksi yang berlangsung dalam hujan lebat di Stadium Likas, malam tadi.

Penyerang import dari Brazil, Anselmo Arruda da Silva atau lebih dikenali sebagai Casagrande, muncul wira buat skuad kendalian Tomas Trucha, apabila menjaringkan dua gol menerusi tandukan masing-masing pada minit ke-38 dan ke-54.

Pemain import dari Tajikistan, Sheriddin Boboev menambah derita buat Sabah, apabila bijak menghukum kealpaan benteng pertahanan tuan rumah dengan membuat larian solo melepasi tiga tonggak pertahanan untuk meledak gol ketiga skuad Harimau Kumbang pada minit ke-67.

Kemenangan hari ini menyaksikan Penang berjaya mengatasi Selangor FC dan Kedah Darul Aman (KDA) FC untuk menduduki tempat ketiga dengan 34 mata, 14 mata di belakang pendahulu Johor Darul Ta’zim (JDT), yang hampir pasti merangkul gelaran Liga Super kelapan berturut-turut.

Sementara itu, Melaka United pula gagal menggunakan peluang beraksi di laman sendiri apabila diikat 1-1 oleh pasukan tercorot liga, UiTM FC di Stadium Hang Jebat.

Skuad kendalian Zainal Abidin Hassan terlebih dahulu membuka jaringan menerusi S Kumaahran pada minit ke-44, namun UiTM berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-83 menerusi Victor Nirennold.

Bagaimanapun keputusan itu tidak banyak membantu UiTM, yang hampir pasti tersingkir ke saingan Liga Premier musim depan, apabila menduduki tempat ke-12 dengan hanya enam mata selepas 18 perlawanan.

Melaka United berada di kedudukan kesembilan berdasarkan kelebihan jaringan walaupun berkongsi 17 mata bersama Sri Pahang FC (10), manakala Perak FC kekal di zon penyingkiran apabila berada di tempat ke-11 dengan 13 mata selepas 19 perlawanan.

Saingan Liga Premier menyaksikan Sarawak United FC kembali merampas kedudukan teratas carta selepas membenam skuad Projek FAM-MSN 4-0 di Stadium UiTM, Shah Alam.

Skuad kendalian E Elavarasan membuka jaringan menerusi Sandro Da Silva pada minit ke -21, sebelum Taylor Francis George Regan (minit ke-42), Muhammad Gopi Rizqi Ramachandra (minit ke-84) dan Nur Shamie Iszuan Amin (minit ke-89) menyumbat bola ke gawang lawan.

Sarawak United berada di puncak carta dengan 34 mata selepas 16 perlawanan, kelebihan dua mata berbanding Negeri Sembilan, diikuti Terengganu II (29) dan JDT II (27).

Pasukan Perak FC II pula gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri, apabila tewas 0-3 kepada PDRM FC di Stadium Perak, Ipoh, hasil jaringan pemain import dari Jepun, Bruno Suzuki pada minit ke-12 dan 29, serta Mohamad Nabil Ahmad Latpi pada minit ke-21. – MalaysiaGazette