Home Nasional SKMM pelawa penyelidik kemuka cadangan program DSRG

SKMM pelawa penyelidik kemuka cadangan program DSRG

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mempelawa penyelidik mengemukakan  cadangan di bawah program Geran Kajian Masyarakat Digital (DSRG).

Jabatan Komunikasi Korporat SKMM dalam kenyataan hari ini berkata, pelawaan mengemukakan kertas cadangan DSRG ini kepada penyelidik akan ditutup pada 8 September 2021 ini.

Katanya, Geran DSRG yang dilancarkan pada Julai 2020 bertujuan membina kajian berasaskan bukti untuk mempromosi dan menambah baik kefahaman mengenai faktor manusia dan sosial yang mempengaruhi penggunaan serta pengamalan teknologi dan perkhidmatan digital.

“Menerusi geran ini, MCMC mencari kombinasi projek penyelidikan secara terbuka dan terpimpin bagi memperjelaskan jurang kawal seliaan dan pembangunan, serta mencadangkan tindakan yang bersesuaian.

“Dua bidang kajian yang diberi tumpuan adalah Warga Digital dan Kesejahteraan Siber serta Keterangkuman Digital yang mana kedua-duanya berkait rapat dengan bidang keutamaan pembangunan sosioekonomi digital iaitu perkhidmatan digital, e-dagang, Internet Benda (IoT), Kecerdasan Buatan (AI), identiti dan keselamatan digital serta isu privasi.

“Bagi bidang kajian berkenaan dengan Warga Digital dan Kesejahteraan Siber, ia bermatlamat untuk memperjelaskan jurang yang mempengaruhi penyertaan, penggunaan positif dan kesejahteraan dalam dunia yang kian bergantung kepada teknologi digital.

“Manakala bagi bidang kajian berkenaan dengan Keterangkuman Digital pula, ia bertujuan untuk memperjelaskan jurang berkaitan faktor-faktor yang menghalang kesaksamaan akses bagi memastikan tidak ada sesiapa yang dinafikan haknya untuk menikmati manfaat kesalinghungan digital,” kata kenyataan itu lagi.

Tambah jabatan komunikasi SKMM, sebanyak enam tajuk telah dikenal pasti oleh SKM di bawah dua bidang kajian tersebut bagi Panggilan Kertas Cadangan Kitar 2 – 2021 dan tajuk-tajuk yang dimaksudkan itu adalah Hak dan Perlindungan Pengguna untuk Pelanggan Perkhidmatan Telekomunikasi melalui Penyediaan Kerangka Pampasan Automatik; Memahami Aspek Tingkah Laku Buli Siber dan Intervensi untuk Mangsa, Pelaku, Ibu Bapa dan Pihak Berkepentingan.

Tajuk lain yang dikenal pasti adalah Keberkesanan Inisiatif dan Penguatkuasaan Undang-Undang dalam usaha menangani, mengurus dan mengatasi penyebaran berita palsu berkaitan pandemik COVID-19;Analisis Jurang Kompetensi Industri Komunikasi dan Multimedia (C&M); Kesan Inisiatif Akses Internet dan Kebolehaksesan bagi memenuhi keperluan pelajar dalam kategori M40 dan B40 sepanjang tempoh langkah pencegahan Covid-19 dan Kajian Impak Program Klik Dengan Bijak (KDB).

“Dalam melaksanakan kajian-kajian tersebut, SKMM berganding bahu dengan pihak penyelidik yang memberi input berguna dan kaedah soal selidik yang digunakan.

“Penglibatan MCMC dalam kajian-kajian ini membolehkannya untuk terus membuat keputusan berdasarkan data dan bukti dalam pengurusannya,” katanya.

Untuk maklumat lanjut berhubung panggilan kertas cadangan tersebut, sila layari pautan seperti yang tertera di bawah: https://www.mcmc.gov.my/en/grants/2021-digital-society-researchgrant- call-for-propo.- MalaysiaGazette