Home Dunia AS, sekutu kena keluar Afghanistan sebelum 31 Ogos ini

AS, sekutu kena keluar Afghanistan sebelum 31 Ogos ini

WANGSHINTON- Keputusan penarikan keluar tentera Amerika Syarikat (AS) dari Afghanistan berada sepenuhnya di tangan presidennya, Joe Biden.

Reaksi berkenaan diberikan Penasihat Keselamatan Negara, Jake Sullivan ketika mengulas ancaman yang dibuat Taliban sekiranya White House tidak meninggalkan negara itu 31 Ogos ini.

Beliau turut mengesahkan yang ketika ini pihaknya sedang berurusan dan berunding dengan Taliban dalam pelbagai aspek mengenai apa yang berlaku di Kabul.

Ketika ini, sebahagian tentera Amerika Syarikat masih berada dan mengawal Lapangan Terbang Antarabangsa Hamid Karzai seperti laporan Al Jazeera dan Skynews.

Dalam keadaan terperangkap, Pentagon telah mengerah ribuan askar untuk memindahkan rakyatnya dan warga Afghanistan yang berkhidmat dengan tentera bersekutu ketika konflik.

Terdahulu, Biden menetapkan 31 Ogos sebagai tarikh akhir tenteranya meninggalkan negara itu, tetapi ia tidak dapat dilaksanakan selagi terdapat warganya berada di sana.

Mengulas mengenai isu yang berlaku, jurucakap Taliban, Suhail Shaheen menegaskan ia tidak akan membenarkan sama sekali tarikh berkenaan dilanjutkan

Katanya ketika dihubungi Sky News, jika ia berlaku bermakna Amerika Syarikat dan sekutunya, Britain terpaksa menaggung akibat.

Sejak 14 Ogos lalu, lebih 37,000 orang telah berjaya diterbang keluar dari Kabul dan sebahagian besar mereka ditempatkan sementara di pengkalan tentera Amerika Syarikat di Doha, Qatar.

Ketika ini lebih 26 negara telah turut serta dalam operasi pemindahan melalui udara dari Afghanistan, yang disifatkan paling besar dalam sejarah.- MalaysiaGazette