Home Nasional Bot langgar boya: Mayat lelaki hilang ditemui

Bot langgar boya: Mayat lelaki hilang ditemui

Mayat mangsa bot langgar boya ditemui orang awam Teluk Tembun, Temoyong  semalam..

LANGKAWI – Seorang lelaki yang dikhuatiri hilang akibat tercampak ke laut selepas bot yang dinaikinya terlanggar boya pada Ahad lalu ditemui meninggal dunia oleh orang awam di Teluk Tembun, Temoyong  semalam.

Pengarah Maritim Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, mangsa, Mohamad Ewandi Husnan, 22, ditemui terdampar di kawasan paya bakau kira-kira pukul 4.30 petang.

Mayat mangsa ditemui dalam keadaan tertiarap oleh orang awam yang sedang menjala udang di kawasan berkenan ketika air laut surut.

“Ahli keluarga mangsa yang hadir ke lokasi membuat pengecaman mayat berdasarkan pakaian dan ciri-ciri fizikal mangsa sebelum mengesahkan mayat berkenaan adalah Muhamad Ewandi.

Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Berikutan penemuan itu, operasi mencari dan menyelamat yang memasuki hari kedua itu ditamatkan pada jam 7 malam semalam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Mohd Zawawi, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Maliha untuk proses bedah siasat.

Pada Ahad lalu, media tempatan melaporkan seorang lelaki dikhuatiri hilang akibat tercampak ke laut selepas bot fiber yang dinaikinya terlanggar boya di 0.5 batu nautika, selatan Pulau Lalang di sini. – MalaysiaGazette