KUALA LUMPUR – Penularan wabak Covid-19 yang masih belum berkesudahan bukannya penghalang untuk rakyat negara ini menyambut bulan kemerdekaan.
Sebaliknya, kemeriahan sambutan bulan itu haruslah dirasai walau dalam apa jua keadaan sekalipun.
Sehubungan itu, Puteri UMNO Malaysia mengajak orang ramai bersama-sama memeriahkan sambutannya melalui kibaran bendera ‘Jalur Gemilang’.
“Petang semalam saya dan rakan-rakan agih dan tampal terus ‘Jalur Gemilang’ pada kenderaan di sekitar Petronas Taman Dagang Pandan.
“Seronok betul mereka dapat bendera. Insya-Allah nanti kita agih di lokasi lain pula,” kata Ketua Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan menerusi hantaran di Facebook.
Dilaporkan tema hari kebangsaan ialah ‘Malaysia Prihatin’ dengan sambutan pada tahun ini akan dibuat secara sederhana di Dataran Pahlawan, Putrajaya dengan penglibatan dan masa yang terhad berikutan penularan pandemik Covid-19. – MalaysiaGazette