SHAH ALAM – Keengganan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membenarkan aplikasi SELangkah dihubungkan dengan MySejahtera antara punca utama penularan Covid-19 tidak terkawal.
Ia juga menyebabkan Selangor merekodkan kes tertinggi di negara ini sejak September 2020, kata Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud.
Menurutnya, ia menyebabkan aplikasi SeLangkah yang dibangunkan kerajaan negeri tidak dapat melakukan pengesanan kontak dengan cepat bagi memastikan kes-kes Covid-19 dapat dikawal sebaiknya.
“Menteri Besar bersama saya serta beberapa ahli SPSP telah membuat perjumpaan dengan Menteri Kesihatan pada Mac 2021, kita bawa cadangan yang boleh kita bekerjasama untuk bersama melawan Covid-19 ini.
“Banyak perkara kita cadangkan itu boleh membantu Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) dipersetujui bila melibatkan aset dan sebagainya, namun ada satu perkara sampai sudah tidak dipersetujui, iaitu untuk kita menghubungkan SELangkah dengan MySejahtera.
“Ketika itu KKM tidak setuju, data diberi kepada atas alasan PDPA, malah kita bersetuju buat apa saja, duduk sama, kami sanggup hantar personnel ke sana CPRC untuk meneliti bersama, tapi akhirnya sampai sudah perkara itu tidak diizinkan,” katanya dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri (ADUN) Sijangkang, Datuk Dr Yunus Hairi (Pas) yang bertanya sejauh mana aplikasi SELangkah gagal membuat pengesanan kontak kes Covid-19 serta kerjasama di antara kerajaan negeri dengan kerajaan Persekutuan mengenainya.
Dalam pada itu, Dr Siti Mariah mendedahkan akibat daripada keengganan kerajaan Pusat itu menyebabkan kerajaan negeri tidak dapat melakukan pengesanan kontak dan sukar mengawal penularan Covid-19 khususnya selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada September 2020.
“Apabila kita gagal membuat pengesanan kontak, itulah permulaan jangkitan menular daripada satu kluster ke satu kluster.
“Sebelum ini kita telah dapat mengawal jumlah jangkitan di Selangor selepas PRN Sabah, bukan lagi jangkitan daripada orang luar tetapi ia jangkitan dalam negara, kita ada banyak kluster termasuk Bah Manggis dan penjara.
“Bila kluster-kluster ini kita tak boleh buat pengesanan kontak dengan cepat, maknanya ada lubang, mereka ini bebas dalam masyarakat. Mula-mula kita kata ada kluster kilang, beberapa kilang sarung tangan, kemudian kepada komuniti dan balik semula ke kilang.
“Ini kerana kontak itu kita telah terlepas kes indeks jangkitan itu. Inilah kegagalan sebab bagaimana kita tak dapat mengawal penularan ini kerana kita gagal pengesanan kontak dan kita gagal buat FTPIS,” katanya lagi. – MalaysiaGazette