Home Nasional Zahid masuk hospital, tak dapat hadir ke mahkamah

Zahid masuk hospital, tak dapat hadir ke mahkamah

Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dimasukkan ke hospital dan tidak dapat menghadiri pendengaran penghujahan kes rasuahnya hari ini.

Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah dimaklumkan mengenai perkara itu oleh peguamnya, Hisyam Teh.

Menurutnya, Ahmad Zahid dimasukkan ke hospital pada Ahad lalu selepas jatuh minggu lepas seperti laporan FMT hari ini.

“Menurut doktor, beliau tidak cukup sihat untuk hadir ke mahkamah. Oleh itu, kami serahkan kepada budi bicara mahkamah sama ada ingin mendengar penghujahan kami atau sebaliknya.

“Pihak pembela bersedia untuk meneruskannya. Kami tidak mahu dituduh melengah-lengahkannya,” kata peguam berkenaan.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Raja Rozela Raja Toran memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwaan bersedia menghujahkan kes itu.

“Bagaimanapun, yang menjadi kebimbangan kami adalah, mengikut undang-undang, seseorang yang dituduh mesti hadir di mahkamah bagi kesnya,” katanya.

Tambahnya, wajar bagi Zahid untuk mengikuti penghujahan berkenaan secara dalam talian.

Zahid berdepan 47 dakwaan pecah amanah jenayah (CBT) membabitkan dana Yayasan Akalbudi dan pengubahan wang haram, selain menerima rasuah untuk pelbagai projek semasa menjadi Menteri Dalam Negeri.

Mahkamah dijadualkan mendengar penghujahan pada akhir pendakwaan mulai hari ini dan pada 6 hingga 9 September ini.-MalaysiaGazette