Home Nasional Cadangan santuari udang galah di Rompin dalam kajian

Cadangan santuari udang galah di Rompin dalam kajian

Persidangan DUN Pahang mesyuarat pertama penggal ke-4 membahaskan usul bermula 23 Ogos sehingga 26 Ogos ini dihadiri oleh 42 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)

KUANTAN – Kerajaan negeri Pahang sedia mempertimbangkan cadangan mewujudkan santuari udang galah di Sungai Rompin setelah kajian mengenainya selesai dijalankan kelak.

Ia berikutan kemasyhuran udang galah Rompin yang menjadi antara tarikan sektor pelancongan di negeri tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Pahang, Datuk Mohd Soffi Abd Razak berkata, santuari adalah tempat perlindungan dan pembiakan sumber perikanan yang memerlukan kerjasama daripada semua pihak.

Katanya, walaupun buat masa ini kerajaan tiada cadangan untuk mewujudkan santuari seumpama itu namun Jabatan Perikatan tidak menolak sebarang kemungkinan selepas kajian dilaksanakan.

“Untuk mewujudkan santuari ini semua pihak seperti nelayan darat atau sungai setempat dan agensi berkaitan mempunyai komitmen untuk sama-sama berfungsi bagi mengelakkan ia terdedah kepada ancaman,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan lisan ADUN Muadzam Shah, Ir Razali Kassim  yang mencadangkan agar Jabatan Perikanan mewujudkan santuari udang galah secara semula jadi Sungai Rompin dalam sidang Dewan Undangan Negeri Pahang, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Soffi berkata, ancaman yang perlu dielakkan termasuk  penangkapan secara berlebihan, penggunaan peralatan garam dan pencemaran sungai yang perlu dipastikan tidak berlaku.

Katanya, sejak 2019 sehingga Julai lalu, sebanyak 635,850 benih ikan dan udang galah telah dilepaskan ke perairan sungai-sungai di daerah Rompin

“Program pelepasan benih udang dan ikan telah dilaksanakan secara berkala setiap tahun sebagai usaha memelihara dan meningkatkan stok udang dan ikan di Sungai Rompin.

“Ia sekali gus dapat meningkatkan pendapatan komuniti nelayan darat dan nelayan setempat,” ujarnya.

Mesyuarat pertama penggal keempat persidangan DUN Pahang bermula 23 Ogos sehingga esok dihadiri oleh 42 ADUN.  – MalaysiaGazette