KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia telah mencatat prestasi antara terbaik dalam dunia sejak kerajaan lama undur diri pada 16 Ogos lalu.
Indeks bursa telah melonjak naik lebih 80 mata dalam tempoh singkat itu.
Datuk Seri Najib Razak berkata, bagaimanapun pemulihan keyakinan pelabur tempatan dan asing berasaskan harapan bahawa dasar dan perlaksanaan kerajaan baharu akan berbeza dari dulu.
Malah aliran keluar dana asing yang berbulan-bulan lamanya telah bertukar kepada aliran masuk minggu lepas.
Namun, beliau memberi peringatan bahawa keyakinan pelabur dan pemulihan ekonomi ketika ini akan terbantut sekiranya kerajaan tidak menurunkan jumlah kes baharu Covid-19 dan tidak membuka semula ekonomi, tidak membantu peniaga memulihkan modal dan aliran tunai yang telah lama terkesan di bawah lockdown yang sudah 3 1/2 bulan lamanya sejak PKP 3.0 bermula pada 12 Mei.
Menurutnya, sejak minggu lepas, Malaysia masih berada di atas 10 negara di dunia dalam kes jangkitan harian baharu Covid-19 tanpa mengambik kira saiz penduduk.
Dari segi saiz penduduk, Malaysia masih catat kadar antara paling tinggi dalam dunia bagi kes baharu dan kes kematian.
Menurut Najib, selagi kes baharu tinggi, ramai pelabur asing dan tempatan akan tidak berani melabur untuk membina business baharu atau mengembangkan business sedia ada jikapun diberi kelonggaran.
Selagi kes baharu tinggi, pelanggan juga akan tidak berani keluar rumah untuk membeli jikapun diberi kelonggaran.
Beliau yakin pasti ada cara dan ada penyelesaiannya.
”Insya-Allah, akan disempurnakan oleh kerajaan baharu bagi mengembalikan kesejahteraan dan keselesaan hidup rakyat yang pernah dikecapi suatu ketika dulu.