LONDON – Manchester City masih tidak mahu berputus asa dalam usaha untuk mendapatkan khidmat kapten England Harry Kane walaupun tahu Tottenham Hotspur tidak bersedia untuk menjual penyerang itu.
Namun, dengan berbaki enam hari lagi untuk jendela perpindahan pemain melabuh tirai 31 Ogos ini, Pep Guardiola masih enggan menyerah kalah dan berazam untuk melakukan percubaan terakhir dengan bidaan dana lebih lumayan untuk Kane dalam beberapa hari akan datang.
Pengerusi Spurs Daniel Levy terus berpendirian tegas untuk tidak melayan sebarang bidaan daripada mana-mana kelab untuk Harry Kane dan laporan Sportsmail mendakwa Levy yakin mereka menang dalam perang mempertahankan Kane daripada dirembat kelab lain.
Bagaimanapun, City selaku juara England mahu membuat percubaan terakhir untuk membawa masuk Kane ke Etihad sebelum Selasa depan.
Laporan terbaharu di Manchester mendakwa Man City bersedia menawarkan £120 juta untuk meyakinkan Spurs kali ini selepas Pengerusi Man City, Khaldoon Al Mubarak menegaskan mereka akan lebih agresif dalam pasaran merekrut pemain kali ini.
Kane merupakan satu-satunya sandaran Pep untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan pemain legenda mereka Sergio Aguero selepas Erling Haaland sah kekal bersama Borussia Dortmund dalam Bundesliga Jerman.
Andai kata City gagal dalam usaha terakhir memujuk dan mendapatkan Kane, mereka akan mengalih perhatiannya ke arah Haaland pada musim hadapan.
Walaupun Pep ditawarkan khidmat bintang Juventus, Cristiano Ronaldo, kelab Etihad itu masih setia untuk mendapatkan khidmat Kane.- Dailymail.com.