Home Seni Hidup MIC Alam Shah aktif bantu golongan terjejas

MIC Alam Shah aktif bantu golongan terjejas

Sumbangan bakul makanan oleh cawangan MIC Alam Shah.

KUALA LUMPUR – Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.

Peribahasa itu amat sesuai bagi menggambarkan sikap tolong menolong dalam keadaan rakyat di negara ini tertekan dalam suasana menghadapi pandemik Covid-19.

Mengambil inisiatif tersebut, cawangan MIC Alam Shah Bahagian Kota Raja  tampil menyerahkan bakul makanan untuk mereka yang terjejas akibat perintah kawalan pergerakan selain kekakangan ekonomi dan kewangan pada masa ini.

Menurut Ketua Cawangan MIC Alam Shah, Barthasarathy Muniyasamy, pihaknya sudah menyerahkan hampir 3,000 bakul makanan di seluruh negara.

Beliau yang juga seorang ahli perniagaan turut mendapat bantuan dari pertubuhan bukan kerajaan selain syarikatnya sendiri melalui program korporat sosial (CSR).

“Sebenarnya jika umum tahu, bakul makanan ini hanyalah bantuan sementara sahaja tetapi itulah yang amat diperlukan ketika ini.

“Anda akan terkejut bagaimana hampir setiap hari saya dihubungi malah yang bekerja dengan saya turut dihubungi hanya untuk mendapatkan sedikit bahan makanan asas.

“Kita memang sedang berdepan dengan satu pandemik yang luar biasa sebenarnya. Pandemik ini bukan sahaja tertumpu kepada kesihatan sahaja sebaliknya turut menjejaskan keadaan ekonomi negara sekaligus rakyat menderita dengan begitu teruk,” katanya kepada MalaysiaGazette baru-baru ini.

Barthasarathy bersama-sama warga MIC Alam Shah juga melakukan lawatan rumah ke beberapa tempat dan mendapati keadaanya begitu daif gara-gara kesan pandemik.

“Namun sejak Covid-19, ada yang hilang kerja, ada yang bilangan keluarga ramai. Makanan semakin tidak cukup, semua kena ikat perut.

“Itulah yang menyebabkan bakul makanan ini sebenarnya sudah menjadi satu keperluan walaupun nilainya tidak seberapa,” katanya.

Barthasarathy  turut dibantu oleh mantan Ketua Wanita MIC Kebangsaan, Datuk Mohana Muniandy dalam mengumpul data serta mengedarkan kepada golongan tersasar.

“Kita gunakan kaedah menyampaikan sumbangan kepada semua Ketua Bahagian MIC kerana rata-rata mereka ini bukan sahaja mengenali pengundi sebaliknya semua rekod golongan yang sedang susah ketika ini ada dalam perkiraan mereka.

“Dengan cara ini juga kita dapat pastikan tidak ada yang tercicir juga. Setakat ini kita sudah edarkan kepada seluruh MIC Bahagian di Selangor, Pulau Pinang dan Kedah. Ada lagi masih dalam proses ketika ini,” katanya.

Selain daripada ahli-ahli MIC bahagian, pihaknya juga mengedarkan bantuan kepada individu yang mana ada memohon selain mereka yang benar-benar memerlukan.

“Ini jugalah pesanan Presiden kami, Tan Sri SA Vigneswaran yang mahu selagi yang mampu turun padang dan all out,” ujarnya. -MalaysiaGazette