KAJANG – Premis yang didapati ingkar arahan prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) termasuk membenarkan individu tidak lengkap dua dos vaksinasi untuk makan di restoran (dine-in) akan diarahkan tutup serta-merta.
Menurut Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Zainal Abidin Kasim, tindakan tersebut akan dijalankan dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Kita akan terus mempertingkatkan pasukan pemantauan bersama PBT, sekiranya ada yang ingkar dan tidak mematuhi SOP maka pihak kami tidak keberatan untuk memastikan premis perniagaan itu dicadang ditutup buat sementara waktu.
“Orang yang ingin dine-in mesti sudah cukup dua dos vaksin, bahkan saya sendiri ada pergi ke beberapa premis dan menasihati pemilik perniagaan supaya memastikan mereka mengikut SOP yang dikeluarkan,” katanya dalam satu sidang media di Kem Batalion 4 PGA, Semenyih di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan eksperimen sosial sepasang suami isteri yang masuk beberapa buah kedai serta makan di restoran walaupun tidak lengkap dua dos vaksin Covid-19 seperti tular di laman Facebook sejak Isnin.
Semalam, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, pasangan suami isteri berusia 35 dan 36 tahun itu ditahan di kediaman mereka di Bandar Putera 2, Klang bagi membantu siasatan.
Dalam perkembangan lain, Zainal Abidin berkata, pihaknya akan mengeluarkan arahan dalam masa terdekat untuk menarik semula beberapa sekatan jalan raya (SJR) berdasarkan SOP terbaharu PPN.
“Kita akan buat kajian untuk keluarkan arahan supaya SJR ini ditarik semula tetapi bukan lah 100 peratus kerana SJR yang dibuat juga bertujuan untuk Op Benteng Covid-19 di sempadan negeri, yang itu kita kekalkan.
“Dalam masa sama, kita juga akan mengeluarkan arahan supaya diperbanyakkan lagi operasi ‘snap check’ di setiap daerah bagi memastikan semua premis perniagaan terus patuh SOP,” ujarnya. – MalaysiaGazette