Home Ekonomi Prospek ekonomi jangka pendek mencabar

Prospek ekonomi jangka pendek mencabar

KUALA LUMPUR – Indeks Pelopor (IP) pada Jun 2021terus mencatatkan pertumbuhan positif sebanyak 0.5 peratus kepada 105.6 mata daripada 105.1 mata pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

IP merupakan alat yang digunakan untuk menjangkakan kenaikan dan penurunan ekonomi dalam purata empat hingga enam bulan ke hadapan.

Peningkatan ini disumbangkan terutamanya oleh Import Benar Logam Asas Berharga & Logam Bukan Ferus Lain yang didorong oleh import logam berasaskan tembaga, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.

Walau bagaimanapun, IP menurun 2.8 peratus bulan ke bulan, dicerminkan oleh penurunan dalam semua komponen IP terutamanya oleh Bilangan Unit Kediaman yang Diluluskan Pembinaan (-0.9%).

Melihat kepada hala tuju yang digambarkan oleh penurunan kadar pertumbuhan IP terlicin walaupun kekal di atas trend (Paparan I), IP menunjukkan prospek ekonomi Malaysia jangka pendek terus menghadapi cabaran.

Ini sejajar dengan ramalan oleh agensi antarabangsa dan nasional yang menjangkakan prospek ekonomi yang perlahan bagi Malaysia pada 2021.

Walau bagaimanapun, kesan positif daripada pelbagai inisiatif kerajaan untuk menyokong kelangsungan perniagaan, seiring dengan kemajuan dalam kadar vaksinasi Covid-19 dapat merangsang keyakinan perniagaan dan seterusnya menyokong pemulihan ekonomi.

Indeks Serentak (IS) mengekalkan momentum pertumbuhan tahunan yang positif bagi tiga bulan yang lalu manakala mencatatkan negatif 3.0 peratus pada Jun 2021 berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Prestasi IS yang mencerminkan aktiviti ekonomi semasa terus menurun kepada negatif 6.3 peratus bulan ke bulan berbanding penurunan sebanyak 1.3 peratus yang direkodkan pada bulan sebelumnya, disebabkan penurunan ketara dalam kapasiti penggunaan dalam sektor pembuatan (-4.5%). – MalaysiaGazette