Home Utama Wakil rakyat perlu pamer politik matang aras tinggi demi kepentingan rakyat –...

Wakil rakyat perlu pamer politik matang aras tinggi demi kepentingan rakyat – Sultan Nazrin

Sultan Nazrin Shah merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14 Perak di Dewan Negeri, Bangunan Perak Darul Ridzuan.

IPOH – Sultan Perak Sultan Nazrin Shah hari ini bertitah semua Ahli Dewan di negeri ini perlu mempamerkan semangat politik matang beraras tinggi dan saling bekerjasama demi kepentingan negeri dan rakyat sebagai timbal balik pemberian peruntukan saksama dalam Belanjawan 2021.

Baginda bertitah setiap Ahli Dewan perlu bersama-sama berusaha memupuk semangat perpaduan dan kewarganegaraan antara rakyat berbilang kaum yang menganut pelbagai agama, mengamalkan pelbagai budaya dan menguasai pelbagai bahasa.

“Menteri besar ketika membentangkan Belanjawan 2021 telah mengumumkan peruntukan saksama untuk kesemua 59 orang Ahli Dewan Negeri, tanpa sebarang diskriminasi sama ada Ahli Dewan dari parti pembangkang atau parti pemerintah,” titah baginda ketika merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14 Perak di Dewan Negeri, Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Baginda bertitah semua ahli Dewan juga dijemput menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah, Jawatankuasa Kumpulan Fokus Daerah dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah dan langkah tersebut akan membolehkan semua ahli Dewan mengambil bahagian secara langsung dan membina dalam mencari formula untuk memenuhi keperluan rakyat secara lebih berkesan.

“Langkah yang dirintis menteri besar ini merupakan langkah berani, memperkenalkan budaya baharu dalam pentadbiran negeri dan mungkin satu langkah permulaan yang kecil, tetapi langkah kecil ini jika terus disuburkan, akan membantu melonjakkan budaya politik baharu aras tinggi yang kurang berkonfrontasi sifatnya,” titah baginda.

Sultan Nazrin dalam titahnya juga mengingatkan bahawa Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah tempat yang membolehkan rintihan rakyat didengari melalui suara Ahli-ahli Dewan yang telah dipilih dan mendapat mandat rakyat semasa berlangsungnya pilihan raya.

Baginda bertitah dalam negara yang mengamalkan sistem Raja Beperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen, DUN sebagai sebuah badan perundangan, berperanan penting untuk mengukuhkan amalan demokrasi selain mengimbangi peranan cabang eksekutif, terutama dalam menyemak, membahaskan dan meluluskan perbelanjaan negeri.

Menyentuh mengenai ancaman COVID-19, baginda bertitah pertembungan vaksin dan virus akan berterusan sehingga Allah SWT mengurniakan kebijaksanaan akal manusia berupaya mengatasi daya lawan dan daya tahan virus ini.

Menurut Sultan Nazrin, vaksinasi merupakan inisiatif pencegahan selain imunisasi adalah perisai pertahanan untuk meningkatkan daya imuniti.

“Kerajaan Beta sedang mengusahakan inisiatif untuk mencapai kadar imunisasi kelompok dengan mempercepatkan program vaksinasi. Program pemberian vaksin juga dipertingkatkan dan ditambah baik melalui program jangkauan, menggerakkan pasukan khas ke lokasi pedalaman, mendekati dan menyantuni masyarakat di luar bandar dan masyarakat Orang Asli,” titah baginda.

Sehingga 24 Ogos, sejumlah 1,118,358 orang telah menerima dos pertama, dan 797,317 telah lengkap menerima dos kedua, merangkumi 42.8 peratus daripada jumlah populasi dewasa negeri Perak.

Sambil menzahirkan penghargaan kepada petugas barisan hadapan termasuk penghantar makanan, petugas di kedai runcit, pasar raya dan farmasi Sultan Nazrin bertitah, individu berkenaan berdepan risiko dijangkiti COVID-19 paling tinggi sekali gus merupakan beban tanggungjawab yang tidak pernah terbayang dalam profesion masing-masing.

Pandemik COVID-19 ini, menurut baginda turut memberi ancaman terhadap jaminan keselamatan bekalan makanan yang perlu diberikan perhatian serius kerajaan negeri dengan mengaktifkan sektor pertanian, penternakan dan perikanan.

Sultan Nazrin percaya, kesemua sektor berkenaan amat perlu diperkenalkan dengan budaya kerja dan pengeluaran bentuk baharu, selain disuntik dengan kaedah dan mekanisme moden supaya produktiviti bahan makanan dapat segera ditingkatkan.

Menyentuh mengenai hasil bumi, baginda bertitah di perut bumi Perak dianggarkan terkandung 1.6 juta tan sumber unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) yang merupakan mineral terpenting pada masa kini dan masa hadapan kerana digunakan secara meluas dalam pelbagai industri teknologi tinggi, perubatan dan pertahanan.

“Kerajaan Beta telah memulakan projek perintis perlombongan NR-REE di atas tanah seluas 213.8 hektar. Pada masa yang sama, kerajaan Beta mengambil pendirian sangat berhati-hati dan tidak akan bersifat gopoh untuk melonjak terlalu cepat, meluluskan lesen melombong NR-REE secara besar-besaran,” titah Sultan Nazrin.

Sebelum ini dilaporkan, konsep Gelembung Persidangan Dewan Negeri akan diguna pakai dalam Persidangan DUN Perak yang bermula hari ini (25 Ogos) dan pelaksanaan itu dibuat selepas mengambil kira situasi semasa pandemik COVID-19 di negeri ini dan nasihat Jabatan Kesihatan Negeri (JKN).

Konsep gelembung itu merangkumi empat elemen utama iaitu penyediaan kemudahan penginapan, pengangkutan, pertambahan ruang persidangan dan keperluan ujian pengesanan harian bagi individu yang terlibat dengan persidangan.

Bagi meminimumkan pergerakan, semua individu yang terlibat dalam gelembung persidangan ini akan disediakan kemudahan pengangkutan dan penginapan di Hotel Impiana, Ipoh dan penggunaan kenderaan sendiri atau e-hailing adalah dilarang.

— BERNAMA

 

 

1 Komen

  1. Anak ulamak pun boleh rosakan amanah untok nak jaga amanah ini macam mana? ????? . Dah lah pas islam pun rakyat susah nak percaya.

Comments are closed.