Home Dunia Amaran serangan keganasan di lapangan terbang Kabul

Amaran serangan keganasan di lapangan terbang Kabul

Warga asing beratur menaiki pesawat untuk keluar dari Afghanistan. foto Reuters

KABUL – Beberapa negara mendakwa terdapat ancaman tinggi serangan pengganas di lapangan terbang Kabul dan memberi amaran kepada warganegara mereka untuk tidak melakukan perjalanan ke sana.

Australia, Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK) telah mengeluarkan peringatan itu kepada warganegara mereka.

Warganegara mereka yang sudah berada di luar lapangan terbang dinasihatkan untuk segera meninggalkan kawasan ini.

Lebih dari 82,000 orang telah dibawa keluar dari Kabul selepas negara itu dikuasai semula oleh Taliban 10 hari yang lalu.

Tindakan membawa keluar warganegara masing-masing perlu dilakukan menjelang tarikh akhir pada 31 Ogos ini.

Ribuan orang masih menunggu di dalam dan di luar lapangan terbang, dengan harapan dapat terbang ke luar negara.

Taliban enggan melanjutkan tarikh akhir tetapi juga berjanji untuk mengizinkan orang asing dan Afghanistan meninggalkan negara itu selepas 31 Ogos, menurut Setiausaha Negara AS, Antony Blinken.

Pada hari Khamis, Menteri Luar Negeri Australia, Marise Payne berkata, terdapat ancaman serangan pengganas yang berterusan dan sangat tinggi.

Ia berlaku beberapa jam selepas Jabatan Negara AS memberitahu, mereka yang menunggu di Abbey Gate, East Gate atau North Gate untuk “segera keluar”.

UK mengeluarkan nasihat serupa yang meminta warganegaranya di sana untuk “pindah ke lokasi yang selamat dan menunggu nasihat selanjutnya”.

Pejabat Luar Negeri mengatakan situasi keselamatan di Afghanistan “tetap tidak stabil” sambil menambah, ada “ancaman berterusan dan tinggi daripada serangan pengganas”.

Namun, tiada negara yang mendedahkan maklumat lebih lanjut mengenai ancaman keselamatan itu.

Kira-kira 19,000 orang telah dipindahkan dengan penerbangan yang diatur AS dalam tempoh 24 jam ini, kata Blinken pada hari Rabu, dengan pertambahan penerbangan udara dalam beberapa hari ini.

Menurut Blinken, AS masih menyelesaikan operasi pemindahan warganegaranya di lapangan terbang Kabul sehingga akhir bulan ini. – BBC