Home Seni Hidup Andi Bernadee buat laporan polis, dakwa kawan baik pecah amanah RM70,000

Andi Bernadee buat laporan polis, dakwa kawan baik pecah amanah RM70,000

Andi Bernadee

KUALA LUMPUR – Penyanyi, Andi Bernadee membuat laporan polis terhadap seorang individu yang juga kawan baiknya kerana didakwa pecah amanah membabitkan wang bernilai RM70,000.

Andi membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi semalam memiliki bukti yang cukup bagi membongkar kes itu.

“Saya mula mengenali ‘kawan’ itu semenjak tahun 2019 dan atas dasar kepercayaan, dia turut menguruskan perjalanan kerjaya saya ini. Kes ini melibatkan bayaran saya sebagai model baju melayu untuk kempen Hari Raya dan lakonan yang mana kedua-duanya melibatkan sejumlah hampir RM70,000.

“Ia terbongkar sekitar bulan Julai lalu, selepas saya sendiri menghubungi pihak syarikat terbabit. Selain melakukan pecah amanah, dia turut memanipulasi banyak pihak untuk mengambil wang saya itu. Hakikatnya saya tidak tahu menahu mengenali perkara itu dan belum mendapat sebarang bayaran biarpun kerja sudah selesai dibuat,” katanya kepada media.

Penyanyi lagu Penat itu diwakili oleh Faizal Rahman bagi melaporkan kes pecah amanah itu dan menyatakan bahawa laporan polis dibuat bagi mengambil tindakan undang-undang supaya perkara seperti ini tidak berlaku kepada rakan artis yang lain.

“Sebelum ini mungkin ada juga artis yang melalui perkara yang sama, tetapi tidak tampil membuat laporan polis.

“Oleh itu, saya mengambil pendekatan agar rakan-rakan artis yg lain dapat mengambil langkah berhati-hati supaya tidak menjadi mangsa seterusnya,” jelasnya.

Andi juga berharap dengan melaporkan perbuatan pecah amanah ini, pihak polis dapat menjalankan siasatan dan mengambil tindakan undang-undang kepada pihak terbabit. – MalaysiaGazette