Home Ekonomi CGB, Smart Sabah jalin kerjasama

CGB, Smart Sabah jalin kerjasama

Feisal Zelman

KUALA LUMPUR – Central Global Technology Sdn Bhd (CGTSB), memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Smart Sabah Corporation Sdn. Bhd. (Smart Sabah) bagi menubuhkan syarikat usahasama untuk pembinaan ‘dashboard’ bagi Kementerian Kewangan Sabah.

CGTSB adalah subsidiari milik penuh Central Global Bhd. (CGB).

CGB dalam kenyataannya berkata, MoU itu sah selama enam bulan daripada tarikh pemeteraian, akan menjadi kerangka kerja untuk CGTSB dan Smart Sabah bekerjasama bagi kerja-kerja merancang, merekabentuk, membangun, melaksana dan menyelenggara Dashboard Kementerian Kewangan Sabah.

Pengerusi Eksekutif CGB, Datuk Feisal Zelman berharap untuk mengadakan perbincangan yang berhasil ke atas projek ini dan akan mengumumkan nanti bila terdapat sebarang kemajuan atau perkembangan.

CGB adalah pengeluar pita penutup industri dan stok label serta kontraktor bangunan am manakala Smart Sabah adalah syarikat milik kerajaan yang menawarkan perkhidmatan maklumat, komunikasi dan teknologi serta perkhidmatan pengurusan berkaitan dan perundingan keselamatan.

Mengulas lanjut katanya, CGB akan terus mencari peluang-peluang perniagaan untuk sayap pembinaan syarikat.

Selain itu, CGB sedang memuktamadkan pembelian mesin-mesin yang akan meningkatkan kapasiti pengeluaran pita penutup kepada 250 peratus.

“Inisiatif dan perundingan ini masih berjalan dan akan memastikan kelestarian perniagaan kami di sebalik cabaran yang dihadapi dalam setahun setengah ini.” katanya. – MalaysiaGazette