KUALA LUMPUR – Ramai yang menjangkakan ahli-ahli Kabinet yang akan bersama-sama Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merupakan ‘muka lama’ dengan menggalas tugas sama.
Namun, jawatan paling penting yang menjadi bualan ramai sudah pasti Timbalan Perdana Menteri.
Orang kanan kepada Ismail Sabri begitu penting dibahaskan ketika ini kerana muncul beberapa nama yang dikatakan bakal menggalas jawatan itu.
Antara nama yang disebut-sebut adalah Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Datuk Seri Faizal Azumu.
Ketiga-tiga nama ini mewakili Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Namun ketika pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin, beliau bermula tanpa timbalan dan hanya 40 hari sebelum peletakan jawatannya melantik Ismail Sabri.
Wartawan veteran, Datuk A Kadir Jasin menerusi laman Facebooknya menyebut, cukup seorang timbalan perdana menteri.
“Jangan bazir duit rakyat,” tulisnya.
Tidak hanya itu, beliau juga berharap agar timbalan perdana menteri yang akan dilantik selepas ini adalah dari Sabah atau Sarawak.
Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Syed Agil Alsagoff berpandangan, jawatan timbalan perdana menteri yang tidak wujud dalam Perlembagaan Persekutuan perlu diberikan kepada parti kedua terbesar komponen.
“Jawatan ini sebenarnya tidak boleh membuat sebarang keputusan dasar, tetapi lebih kepada jawatan senior dalam Kabinet dan membantu kepada perdana menteri.
“Ia harus diberikan kepada Bersatu sebagai signifikan terhadap simbiosis kepada parti-parti dalam gabungan ini, memandangkan kerajaan hari ini merupakan ‘kerajaan campuran’,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Jelasnya, selain meneruskan tradisi sedia ada, besar kemungkinan jawatan timbalan perdana menteri diteruskan untuk tujuan kerjasama antara parti.
“Orang yang bakal dilantik sebagai timbalan ini adalah individu paling penting, yang akan bersama perdana menteri serta memastikan Kabinet berfungsi dengan lebih baik.
“Cuma, tidak perlulah membazir untuk melantik dua timbalan perdana menteri.
“Saya juga berpandangan, timbalan ini tidak lain sebagai penentu undi percaya pada Ismail Sabri selaku perdana menteri,” jelasnya.
Ditanya mengenai jawatan itu harus diberikan kepada Sabah atau Sarawak, Syed Agil berkata, tidak ada keperluan ke arah itu.
“Seperti saya nyatakan, jawatan timbalan harus diberikan kepada parti kedua terbesar.
“Sabah dan Sarawak tidak ada keperluan dan jika dua negeri ini mahu boleh jadi Pas juga berkehendak kerana mempunyai 18 kerusi.
Hari ini, Ismail Sabri mengadap Yang di-Pertuan Agong bagi mempersembah senarai jemaah menteri. – MalaysiaGazette
Hati2lah pm. Silap langkah rebah silap cakap terperangkap. Silap bertindak akan membawa padah