Home Politik Jika langkah PM songsang, boleh tercetus kembali kecelaruan parti – Armada

Jika langkah PM songsang, boleh tercetus kembali kecelaruan parti – Armada

KUALA LUMPUR – Pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama pemimpin Pakatan Harapan (PH) semalam wajar dilakukan.

Ketua Penerangan Armada Bersatu Nasional, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir bagaimanapun berkata, jika langkah Ismail Sabri kelihatan songsang, ia mampu mencetuskan kembali kecelaruan seperti mana yang dilakukan segelintir pimpinan UMNO dan PH serta blok pembangkang lain sebelum ini.

“Dalam pada tindakan mereka yang semata-mata sekadar mahu menjatuhkan kerajaan atas kesumat politik dan demi menyelamatkan diri daripada kes-kes salah laku, tanpa sedikit pun menawarkan sebarang solusi kerjasama demi rakyat.

“Apa yang mereka lakukan membuatkan rakyat muak melihat kegilaan perebutan kuasa dan permainan politik yang dipertontonkan, sedang kerajaan Perikatan Nasional sebelum ini bertungkus-lumus mengimbangi jalan keluar untuk negara yang berhadapan krisis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada pertemuan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng itu, blok pembangkang bersetuju untuk bekerjasama dengan kerajaan dalam memperkasa fungsi Parlimen sebagai institusi yang bertanggungjawab dan konstruktif serta menyemak dan mengimbang tadbir urus eksekutif supaya lebih telus dan memenuhi kehendak rakyat.

Ismail Sabri berkata, mereka juga bersetuju dan memahami pentingnya kebebasan badan kehakiman, reformasi institusi dan tatakelola kerajaan yang baik bagi memastikan keadaan yang lebih kondusif untuk rakyat dan negara dalam konteks Keluarga Malaysia.

Menurut Mohd Ashraf Mustaqim, pada waktu ini adalah wajar untuk setiap daripada ahli parti mengenetepikan perbezaan politik selama mana ia dapat membantu fungsi kerajaan dalam menolong rakyat.

“Jika barisan eksekutif yang bakal diketengahkan Perdana Menteri bebas daripada palitan kes-kes salah laku di mahkamah, maka sinergi antara komponen kerajaan sebegitu pembangkang untuk tidak meneruskan agenda ‘politicking’ amatlah dituntut demi sebuah nafas baharu dalam keberadaan politik yang tenat, masyarakat yang mahukan kestabilan dalam negara.

“Adalah diharapkan agar agenda ‘reform’ yang pernah ditawarkan Tan Sri Muhyiddin Yassin seperti Akta Lompat Parti, Penggal Perdana Menteri dan beberapa hasrat perubahan institusi lainnya yang dikemukan menjadi ‘menu’ bersama dan katalis kepada kemajuan demokrasi tanah air,” katanya.

Tambah Mohd Ashraf Mustaqim, jika ia dapat dilaksanakan, slogan ‘Menang Bersama’ yang dilaungkan selama ini berada arah tepat untuk merealisasikan ‘Keluarga Malaysia’. – MalaysiaGazette